Vokalis Samudera meninggal selepas 36 jam ditidurkan

Hebahkan !!!


ARWAH NORAZMI (DUA DARI KANAN) BERSAMA RAKAN SEPERJUANGAN KUMPULAN SAMUDERA

VOKALIS kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada malam Sabtu lalu selepas 36 jam ditidurkan akibat jangkitan Covid-19.

Ketua kumpulan Samudera, Mohd Azhar Ropei memberitahu arwah Norazmi atau lebih mesra disapa Aimi, 48, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira pukul 10.12 malam.

Katanya, arwah Aimi dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan Covid-19, sebelum itu dia dikuarantin di Maeps, Serdang sejak Rabu lepas.

“Dalam beberapa hari sahaja di Maeps dia kena transfer ke Hospital Sungai Buloh sebab alami gejala sesak nafas.

“Semasa di hospital dia dah kritikal, doktor tidurkan dan ditiarapkan dalam masa 16 jam masih tak ada perubahan… selang sehari doktor tiarapkan lagi selama 20 jam.

“Saya dapat panggilan daripada ibu arwah yang memaklumkan Aimi sudah meninggal dunia pada jam 10.12 malam, Sabtu,” katanya yang kelihatan sugul selepas kehilangan vokalis buat kali yang kedua.

Allahyarham Norazmi adalah vokalis kumpulan Samudera selepas menggantikan penyanyi asal, Sarfen Husin atau Ujang yang meninggal dunia, empat tahun lalu.

Menurut Azhar, arwah sempat meluahkan hasratnya untuk merakamkan single terbaharu mereka selepas dia sembuh daripada jangkitan wabak maut itu.

“Sebelum masuk Maeps, Aimi sempat nyanyikan lagu single dan berhasrat nak jayakan lagu tu.

“Dia minta naikkan tempo sikit, tapi nak buat macam mana dah ketentuan Allah. Kita terpaksa hentikan dahulu projek…kami reda,” ujarnya.

Leave a Reply