Kes saman fitnah Eizlan, Hans Isaac dibicara

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof terhadap bekas Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, gagal diselesaikan secara mediasi.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini, memerintahkan supaya kes berkenaan dibicarakan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Eizlan ketika dihubungi media, selepas selesai prosiding pengurusan kes itu secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Ong Yen Li.

“Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen praperbicaraan pada atau sebelum 18 Oktober ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar bagi mendapat arahan lanjut mengenai perbicaraan kes.

Peguam Isa Ali Ibrahim mewakili Hans Isaac dalam prosiding hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di sini, mencadangkan kes saman antara kedua-dua pihak itu diselesaikan secara mediasi.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan hari ini untuk pengurusan kes secara dalam talian bagi kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan lanjut perkara berkenaan.

Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 50, memfailkan saman menerusi Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co pada 8 Februari lalu dengan menamakan bekas Pengerusi FINAS, Hans Isaac atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac sebagai defendan tunggal.

Saman itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan dana untuk syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply