Warga emas dakwa dirinya dianiaya JAIS

Hebahkan !!!


ANTARA TINDAKAN DIAMBIL PIHAK BERKUASA AGAMA UNTUK MENYEKAT PENGARUH AJARAN MENYIMPANG DARI ISLAM. Gambar Hiasan.

SEORANG warga emas mendakwa dirinya amat terkejut apabila ditangkap dan dilokap, oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebanyak dua kali tanpa dimaklumkan apa kesalahan yang dilakukannya.

Khir Johari Parlan, seorang penganggur dan asnaf berkata, dia bingung apabila turut dihadap ke Mahkamah Rendah Syariah 4 Mac 2021 bagi kes tangkapan pertama, seterusnya ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 28 Julai lalu tanpa dibacakan sebarang pertuduhan ke atasnya.

“Perkara ini amat menyusahkan saya tiada sebarang pendapatan. Dalam kejadian kes pertama, tiba-tiba saja saya diserbu dan ditangkap oleh JAIS pada pukul 12 tengah malam ketika sedang tidur, tanpa adanya sebarang waran tangkap mahupun geledah.

“Saya disoal siasat bermula pukul 2 pagi di pejabat JAIS dan akhirnya dilepaskan setelah dijamin pada pukul 3.00 petang keesokannya,” jelas warga emas berusia 64 tahun itu.

Menceritakan turutan kes tangkapan, Khir Johari berkata, selepas kejadian pertama pada Mac, dia sekali lagi ditangkap oleh penguatkuasa JAIS pada 28 Julai 2021 dan dilepaskan setelah dijamin, sama seperti sebelumnya juga, tidak diberitahu apakah jenis kesalahan yang telah dilakukan.

Sebaliknya, beliau diperintahkan supaya hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan pada 25 November depan dan sekali lagi pada 18 Januari 2022.

“Tetapi sehingga kini, saya masih tidak dimaklum dan tidak tahu apakah kesalahan jenayah syariah yang telah difitnahkan kononnya saya lakukan.

“Disebabkan reputasi saya sudah tercemar dengan teruk, maka saya akan mengambil tindakan saman terhadap JAIS atas sebab kes tangkapan yang berlaku, untuk tujuan itu, saya memerlukan bantuan guaman.

“Disebabkan saya miskin saya merayu jika ada peguam sanggup membela saya secara pro-bono. Sekiranya terdapat ganti rugi daripada tindakan saman nanti, saya akan gunakannya bagi membayar kos guaman dan membantu ramai lagi mangsa turut telah dianiaya oleh JAIS,” dakwa Khir Johari.

Sementara itu, kata warga emas itu lagi, tempoh masa cukup lama iaitu kira-kira 7 bulan sejak Februari telah diberi kepada JAIS untuk meminta maaf dan membetulkan jika itu kesilapannya.

Bagaimanapun dakwanya, hingga kini tiada permohonan maaf dikemukakan JAIS dan ia dianggap sebagai tindakan diambil JAIS ke atasnya adalah disengajakan.

Bagi membuktikan kes aniaya dialaminya,
Khir Johari telah membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam, 23 Ogos 2021 kerana ditangkap, dilokap dan dibicara oleh JAIS tanpa mengetahui kesalahannya.


IZAM MENUNJUKKAN LAPORAN POLIS DIBUAT.

Sementara itu, penjamin kepada mangsa, Izam Mat Isa, 48, mendakwa, dia terpaksa tinggalkan kerjanya secara tergesa-gesa sejurus dihubungi rakan memaklumkan Khir Johari ditahan dan dilokapkan oleh JAIS pada 28 Julai lalu.

Katanya, dia sanggup menjadi penjamin ‘buta’ untuk Khir Johari walaupun tidak tahu apakah kesalahannya kerana kasihan atas penganiayaan JAIS terhadap mangsa.

“Pada hari penahanan, tinggal lagi satu jam sahaja, jika saya tidak hadir untuk jamin maka Khir Johari pastinya sudahpun dihantar ke penjara.

“Sehingga ke hari ini, kami masih tidak tahu apa kesalahannya dan hanya dimaklum mangsa akan dibicarakan pada 25 November nanti,” katanya.

Izam turut membuat laporan polis pada 25 Ogos lalu di Balai Polis Kuala Selangor berhubung isu berkenaan sambil berharap pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun lain-lain agensi berautoriti akan menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya jika wujud perlakuan salah guna kuasa oleh JAIS di dalam kes tangkapan warga emas itu.

“Kami akan cuba memohon untuk mengadap Tuanku Sultan Selangor atau Raja Muda bagi menyerah memorandum berkaitan kes ini untuk perhatian tuanku berdua serta Majlis Raja-raja Melayu, bagi mengelak institusi agama dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan diri sehingga mencemar imej suci Islam,” ujar mereka.

Leave a Reply