Emma Raducanu Nama Tidak Terkenal Jadi Kejutan Dunia Tenis

Hebahkan !!!

NEW YORK: Warga Britain Emma Raducanu, 18 tahun, menjadi pemain kelayakan pertama dalam sejarah untuk mara ke perlawanan akhir Grand Slam dengan menewaskan pemain pilihan ke-17 kejohanan dari Greece, Maria Sakkari 6-1, 6-4 di Terbuka AS kelmarin.

Raducanu, yang menduduki ranking ke-150 dunia, menjadi finalis Grand Slam paling muda sejak Maria Sharapova, ketika itu berusia 17 tahun, yang memenangi Wimbledon pada 2004.

Remaja itu juga merupakan wanita British pertama untuk beraksi di final perseorangan Grand Slam dalam 44 tahun.

“Masa di New York berlalu dengan begitu pantas, saya telah mengurus setiap hari dengan baik dan tiga minggu kemudian, saya berada dalam final. Saya benar-benar tidak percaya,” kata Raducanu.

Selepas berjaya mengatasi tiga perlawanan kelayakan untuk melangkah ke kejohanan utama Terbuka AS, beliau belum kalah dalam sebarang set sepanjang sembilan perlawanannya di Flushing Meadows.

Ia hanya merupakan kejohanan Grand Slam kedua Raducanu dan acara peringkat lawatan keempat beliau dalam kerjayanya.

Raducanu berdepan warga Canada Leylah Fernandez, 19 tahun, dalam final Terbuka AS hari ini di Stadium Arthur Ashe.

Fernandez mengalahkan pemain nombor dua dunia Aryna Sabalenka dari Belarus dalam perlawanan separuh akhir lain kelmarin.

Bakat muda itu, yang ‘unseeded’ atau yang tidak diberi ranking bagi kejohanan ini, menundukkan finalis separuh akhir Wimbledon Sabalenka 7-6 (7-3), 4-6, 6-4.

Final hari ini merupakan final Grand Slam pertama antara dua remaja sejak Serena Williams, ketika itu 17 tahun, menewaskan Martina Hingis, 18 tahun, di Terbuka AS 1999, dan hanya final Grand Slam kelapan yang kededuanya dibarisi pesaing remaja di era Terbuka (sejak 1968).

“Saya tidak tahu bagaimana saya dapat mata terakhir itu tetapi saya gembira saya berjaya mendapatnya dan saya gembira saya berada dalam final,” kata Fernandez.

Fernandez, pemain kidal yang menduduki ranking ke-73 dunia, sebelum ini menyingkirkan juara bertahan Naomi Osaka dan pemain pilihan kelima kejohanan Elina Svitolina.

Justeru, Sabalenka menjadi mangsa ketiga Fernandez, yang berada dalam kelompok lima pemain terbaik dunia, untuk tewas di tangan remaja itu di Terbuka AS tahun ini.

Hanya Williams di Wimbledon 2012 yang pernah mencatat pencapaian itu, mengalahkan tiga pesaing menduduki lima ranking teratas dalam sebuah kejohanan Grand Slam.

“Saya hanya mahu bermain dalam sebuah final,” kata Fernandez. “Saya akan nikmati kemenangan saya dan fikirkan tentangnya esok.”

Fernandez, yang menyambut hari lahir ke-19 beliau lusa, tidak pernah melepasi pusingan ketiga dalam enam kejohanan Grand Slam yang beliau beraksi sebelum ini. – AFP.

Leave a Reply