Cadangan SPRM diletak bawah Parlimen perlu kajian mendalam

Hebahkan !!!

Oleh: SYAHIDI BAKAR

CADANGAN supaya fungsi kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan bawah Parlimen perlukan kajian lebih mendalam untuk elakkan timbul sebarang isu bertindih pada masa depan.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, antara aspek perlu diteliti ialah fungsi peranan dan pengurusan operasi suruhanjaya yang sepatutnya bebas serta berkecuali itu.

Beliau berkata, ketika ini SPRM di bawah seliaan tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan fungsinya sebagai agensi penguat kuasa antirasuah yang bebas.

“Jadi, sekiranya SPRM diletak di bawah Parlimen, persoalannya adakah perlu SPRM bagi menjawab kepada semua persoalan ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara atau mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Saya yakin dan percaya, SPRM profesional dan akan menjalankan tugas dengan penuh integriti sekiranya tidak diletakkan di bawah Parlimen.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dikaji dengan teliti bagi mengelakkan sebarang campur tangan daripada mana-mana ahli Parlimen pada masa akan datang,” katanya.

Beliau mengulas beberapa isu berbangkit yang mengaitkan SPRM dengan campur tangan politik khususnya dalam mengambil tindakan terhadap ahli politik yang tidak sehaluan.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lepas, Latheefa Koya dalam usaha mensabitkan pendakwaan kes terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Dr Mohd Azmir mencadangkan supaya fungsi kuasa SPRM diletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong bagi mengelak entiti tersebut dijadikan kuda tunggangan oleh individu tertentu.

Selain itu katanya, peranan digalas SPRM perlu terus dikekalkan seperti mana sekarang namun diperkukuh dengan diberikan kuasa mendakwa dan bukannya sekadar menyiasat semata-mata, bagi mengelakkan wujudnya pertindihan kuasa dan kepentingan.

Media sebelum ini ada melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan agar SPRM diletakkan terus di bawah Parlimen.

Banyak pihak yang bersetuju supaya agensi itu berfungsi secara bebas dan berkecuali tanpa pengaruh atau tekanan politik pihak eksekutif.

Rais, juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu akan diperincikan dalam sudut perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, bagi Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, ada kebaikan dan kelemahan jika SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

Beliau berpendapat, kelemahannya ialah SPRM mungkin terpaksa ‘bergelumang’ dengan campur tangan dan pengaruh politik.

“Dari sudut lain pula, kita dapat lihat bagaimana badan eksekutif wajib menyatakan akauntabiliti mereka di Parlimen. Prinsip ‘semak dan imbang’ Parlimen bagi setiap keputusan serta tindakan p eksekutif memastikan semua menteri prihatin terhadap apa jua yang mereka lakukan di luar Parlimen khususnya berkaitan tanggungjawab mereka sebagai menteri.

“Untuk SPRM pula, kita perlu teliti apakah ruang lingkup pertanggungjawaban SPRM jika ia diletak di bawah Parlimen. Adakah ia bermaksud SPRM mempunyai akauntabiliti penuh kepada Parlimen atau bagaimana?

“Jika ya, maka setiap keputusan SPRM buat akan dipersoal dan diteliti Parlimen. Jika membawa kebaikan daripada segi ketelusan, integriti akan dijaga dan amanah kepada tugas akan dapat dipertanggungjawab dan dipertingkatkan maka kualiti tugas dan keberhasilan SPRM pasti akan bertambah baik, saya rasa ia keputusan betul,” katanya.

Leave a Reply