WHO isytihar wabak polio di Malaysia tamat – Khairy

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA: Wabak polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

“Berdasarkan penilaian itu, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Khairy berkata susulan kejayaan menamatkan wabak polio di Malaysia, masyarakat perlu terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.

“Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain daripada itu, KKM akan mempastikan survelan ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan,” katanya.

Leave a Reply