Saya jadi mangsa dana politik yang tidak diaktakan: Ahmad Maslan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat Akta Pendanaan Politik perlu diteruskan kerajaan pada masa sekarang.

Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung UMNO itu, draf akta berkenaan perlu dibentangkan semula oleh pihak berkaitan bagi mendapatkan maklum balas yang terkini.

Pendirian itu disuarakan Ahli Parlimen Pontian itu memandangkan beliau pernah menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

Malah, kes berkenaan menyebabkan beliau bukan individu pilihan untuk menyertai barisan Kabinet ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kenapa tiba-tiba saya nak perkenalkan semula (akta), atas nama saya sendiri, adalah kerana, saya Ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

“Ada dua kes sahaja tentang saya, iaitu dituduh menerima sejumlah wang tetapi konon saya tak bayar cukai, maka saya tak masuk dalam senarai (kabinet) Muhyiddin.

“Dan dalam senarai (kabinet) Ismail Sabri juga saya tidak masuk sebab ada sedikit masalah itu,” katanya dalam Forum Akta Pendanaan Politik yang disiarkan di Facebook Sinar Live pada Jumaat.

Ujarnya, penelitian lanjut mengenai akta berkenaan perlu dilakukan bagi memberikan kefahaman tertentu termasuk mengenai maksud dana awam dan dana swasta, atau dana dalam bentuk barangan yang diterima seseorang.

Katanya lagi, Kerajaan Barisan Nasional pada 2009 telah berusaha membentangkan rang undang-undang mengenai pendanaan politik.

Namun, ia terhenti pada peringkat draf akta pada 2016 dan tidak dapat dibentangkan pada ketika itu. – Awani

Leave a Reply