Umno dan nasionalisme kaum akan terus kekal, kata Tommy Thomas

Hebahkan !!!

UMNO cuma terkesan sedikit sahaja dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malah kini ia kembali berkuasa apabila Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai perdana menteri, kata bekas peguam negara Tommy Thomas.

Sebenarnya pihak yang memandang rendah Umno yang berada dalam bahaya, katanya dalam webinar bertajuk “Umno Redux: What Next for Malaysia?” malam ini.

“Umno cuma terkesan sedikit sahaja dalam PRU14, ia sudah kembali.

“Umno berjaya dan tidak pernah luntur. Mana-mana ahli politik atau parti politik yang pandang remeh pada Umno yang berada dalam bahaya,” kata Thomas.

Penguasaan Umno dalam landskap negara begitu utuh sehingga ribuan penjawat awam yakin parti itu sinonim dengan Malaysia, tambahnya.

“Kepentingan Umno ada dalam kepentingan negara. Hubungan antara Umno dan negara dapat dilihat ketika Umno serang kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa minggu selepas ia hilang kuasa buat kali pertama pada Mei 2018.

“Umno guna isu kaum dan agama, puncaknya dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020,” kata bekas peguam negara yang dilantik oleh kerajaan PH.

Langkah Sheraton merupakan gelaran yang diberikan ketika belasan ahli Parlimen PKR dan Bersatu keluar dari PH, bertujuan membentuk kerajaan majoriti Melayu dengan Umno, PAS dan parti-parti lain.

Thomas berkata, Umno percaya ia berhak jadi parti kerajaan dan sekali lagi berjaya selepas Ismail Sabri menjawat jawatan perdana menteri kesembilan.

Sementara itu profesor UCSI Dr Tajuddin Rasdi meramalkan Umno akan sapu bersih PRU15 hasil kerjasamanya dengan PAS.

“Umno mungkin tidak ada visi, pemimpin dan kredibiliti, tetapi saya yakin mereka akan menang besar PRU15 bersama PAS. Terutamanya sekarang dengan Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam sedang rancak,” katanya, merujuk kepada fahaman sesetengah orang Melayu dan Islam yang penting di negara ini.

Tambah Tajuddin, ketika Umno menjaja retorik perkauman dan agama untuk meraih undi, beliau berkata ia berlaku sebagai tindak balas kepada masyarakat.

“Ekstremisme Islam akan muncul tetapi bukan sepenuhnya dalah orang politik. Mereka bertindak berdasar apa yang sedang terjadi dalam masyarakat. Perubahan berlaku apabila kita sendiri berubah,” kata Tajuddin.

Apa lagi untuk Malaysia?

Profesor James Chin dari University of Tasmania, yang juga bercakap dalam webinar tersebut berkata, “sesuatu yang radikal” perlu terjadi agar landskap politik Malaysia berubah dengan ketara.

“Jika anda mahukan perubahan mendalam, kita perlu lalui kejadian traumatik sampai kita tak mampu harungi lagi dan baru kita boleh reset. Selagi tidak sampai titik krisis, keadaan tak akan berubah,” katanya. – 9 September, 2021

 

 

 

Leave a Reply