‘Saya pun pakai pelikat, makan guna tangan, makan budu’ macam Melayu Kata Ketua Pendukung PAS

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: “Saya pakai pelikat macam orang Melayu, makan guna tangan dan makan budu,” kata Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Kelantan, Lau Chin Chua bagi menggambarkan semangat perpaduan yang terdapat di Kelantan.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video berdurasi lima minit tujuh saat yang dimuat naik di Instagram tv.kotabharu.

Biarpun berbeza bangsa dan agama, namun Lau berkata, rakyat negeri berkenaan sangat rapat kerana mengamalkan budaya serta pertuturan yang sama.

Katanya, semangat kekitaan begitu menebal di kalangan orang Kelantan sehingga ada istilah ‘set kito jange pecoh’ (kita jangan berpecah).

“Dalam soal pertuturan harian, ramai orang Cina di Kelantan bercakap bahasa Melayu, malah tak pelat. Jadi pertuturan yang sama mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Begitu juga budaya Melayu, Cina, India dan Siam di Kelantan tak banyak beza contohnya makan dengan tangan, pakai kain pelikat.

“Kebanyakan orang Cina di Kelantan guna nama melayu seperti Hassan, Ali dan Hussin. Ia akan menjadi lebih mesra,” katanya.

Selain itu, Lau berkata, perbezaan agama tidak pernah menghalang masyarakat di negeri itu untuk menghadiri upacara perkahwinan dan kematian serta memasuki rumah ibadat.

Malah katanya, situasi itulah yang lagi jelas menunjukkan hubungan rapat seluruh masyarakat tanpa mengambil kira bangsa, agama dan budaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply