Penduduk Lembah Klang lengkap vaksin boleh rentas daerah

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA: Penduduk di Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing sudah boleh merentas sempadan daerah bermula Jumaat ini, apabila Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memasuki Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketiga-tiga negeri dan Wilayah Persekutuan itu akan menikmati kelonggaran sama dengan negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 2 sebelum ini.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan kepada individu sudah melengkapkan dos vaksinasi seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain kebenaran merentas daerah ialah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri dan ibu bapa dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

“Dine-in (makan di kedai) dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ bagi individu yang lengkap dua dos.

“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

“Maka, pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply