Dakwaan tidak perlu undi percaya hanyalah dengar cakap

Hebahkan !!!

 

 

Oleh Hafiz Hassan

Tajuk berita “Undi percaya tidak perlu – Yang di-Pertuan Agong” memang menangkap mata dan perhatian.

Tetapi bila dibaca beritanya, rupanya apa yang “dititah” oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa undi percaya tidak diperlukan lagi hanyalah menurut kata menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perdana menteri telah menyatakannya semasa mesyuarat Kabinet pertama minggu lalu seperti lapor MalaysiaNow. https://bebasnews.my/?p=69311

Dalam ilmu undang-undang, apa yang dikatakan oleh Wan Junaidi yang perdana menteri menyatakannya bahawa Yang di-Pertuan Agong menitahkan kepadanya, titah itu adalah dengar cakap – hearsay dalam Bahasa Inggeris.

Lainlah kalau perdana menteri sendiri yang berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong menitahkan kepadanya undi percaya tidak perlu.

Di bawah undang-undang keterangan, apa-apa fakta yang diterima secara lisan yang hendak dibuktikan, maka hendaklah dibuktikan oleh orang yang menerima penyataan lisan itu secara langsung.

Oleh itu, apa-apa kenyataan oleh orang yang tidak menerima penyataan lisan itu secara langsung tidak boleh diterima dalam mahkamah kerana kenyataan orang itu adalah keterangan dengar cakap.

Kenyataan itu dikatakan sebagai kenyataan tanpa pengetahuan peribadi. Ia adalah kenyataan dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai keterangan, kecuali pernyataan lisan mengenai sesuatu fakta itu dibuat oleh “seseorang yang sudah mati atau yang tidak dapat ditemui, atau yang sudah menjadi tidak berupaya untuk memberikan keterangan, atau yang kehadirannya tidak dapat didapatkan tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada pendapat mahkamah tidak munasabah dalam hal keadaan kes itu.”

Contoh, dalam kes Wan Rahmah Binti Wan Abdullah v Mohd Sukri Bin Mat & Anor [2016], semasa perbicaraan di Mahkamah ini, saksi pertama dan kedua telah memberi keterangan bahawa mereka telah diberitahu oleh si mati semasa beliau masih hidup mengenai suatu transaksi jual beli tanah.

Malahan, mengikut saksi kedua yang tinggal serumah dengan si mati, selain daripada mengetahui mengenai transaksi jual beli tanah tersebut, beliau melihat si pembeli datang ke rumah dan si mati menyerahkan duit penjualan tanah tersebut kepada si pembeli.

Si mati sememangnya tidak dapat memberi keterangan kerana beliau telah meninggal dunia. Dalam kes ini, pihak defendan telah berhujah bahawa keterangan-keterangan saksi pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ia adalah keterangan dengar cakap. Namun demikian, mahkamah memutuskan bahawa keterangan dengarcakap boleh diterima di bawah pengecualian kepada keterangan dengar cakap.

Jadinya, apa yang disampaikan kepada kita oleh Wan Junaidi tentang titah Yang di-Pertuan Agong adalah dengar cakap.

– BebasNews

Leave a Reply