Bekas tentera Afghanistan kini didakwa telah sertai Taliban

Hebahkan !!!

SEBAHAGIAN tentera Afghanistan yang dulunya dilatih oleh tentera barat kini, dilaporkan telah berkhidmat dengan Taliban, kata sumber tentera United Kingdom (UK).

Pegawai tentera UK yang bertugas menganalisa imej pejuang Taliban termasuk dalam serangan ke atas Panjshir tentera Afghanistan dipercayai menggunakan teknik yang sama seperti rakan mereka dalam Nato ketika mengendalikan senjata, lapor akhbar Times.

Kebiasaannya pejuang Taliban akan memegang senjata mereka secara sesuka hati tanpa pula menggunakan teknik tertentu.

Bagaimanapun setakat ini, tiada lagi pengesahan secara rasmi dibuat bahawa tentera Afghanistan yang dilatih oleh UK dan Amerika Syarikat telah menyertai Taliban.

Sumber lain pula berkata, Taliban sekarang jelas berbeza dengan yang dahulu (1990an) sambil menambah mereka juga ‘lebih kebaratan’ jika berbanding sebelumnya dan memiliki telefon pintar.

Penganalisis syarikat perisikan keselamatan Dragonfly, Barbara Kelemen berkata terdapat kemungkinan munasabah bahawa sesetengah tentera Afghanistan telah menyertai Taliban.

“Antara puncanya termasuklah hubungan mereka dengan kumpulan itu sebelum ini, selain insentif ekonomi dan mungkin juga demi keselamatan diri atau keluarga,” kata beliau.

Sementara itu, sumber pertahanan yang lain pula mempertikai dakwaan itu sambil berkata, bagi mana-mana pasukan yang kompeten mungkin dilatih mengendalikan senjata mereka dengan cara yang sama.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti yang menyokong laporan bekas tentera Afghanistan yang dilatih oleh tentera barat telah menyertai Taliban,” kata sumber tersebut.

– BebasNews

Leave a Reply