Siapa PM terbaik di mata Dr M?

Hebahkan !!!

 

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad, yang pernah menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini dan satu-satunya individu yang pernah dua kali memegang jawatan itu, menyuarakan pandangannya mengenai tokoh-tokoh lain yang menyandang jawatan berkenaan – dan sebahagian besarnya adalah negatif.

Perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, katanya, tidak tahu cara membangunkan negara. Mahathir berkata, Tunku berjaya mendapatkan kemerdekaan bagi negara tetapi gagal menyenaraikan langkah-langkah untuk membantu negara berkembang.

“Beliau tidak diterima rakyat kerana orang Melayu kata mereka tidak dapat apa-apa. Kita masih begitu, masih miskin,” katanya dalam wawancara dengan Great People Television bertajuk, “Leadership Reflections and Perceptions with Dr Mahathir Mohamad”.

Kata Mahathir, orang Melayu marah dengan Tunku walaupun beliau mahu lakukan yang terbaik untuk negara. Tunku juga menggelar dirinya “Perdana menteri terbahagia di dunia”, katanya kerana Malaysia tidak melalui sebarang bentuk revolusi untuk mendapat kemerdekaan.

Mahathir berkata, perdana menteri kedua, iaitu Abdul Razak Hussein lebih mahir, namun berdepan masalah ketika menerajui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas peristiwa 13 Mei.

“Kerajaan ketika itu lemah. Walaupun Perikatan memenangi pilihan raya, ia menang dengan majoriti mudah dan tidak dapat membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Perak dan Selangor,” katanya, sambil menambah, ini menimbulkan ketidaktentuan.

Razak kemudian mengajak pembangkang menyertai kerajaan bagi membentuk pentadbiran yang kukuh dan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) untuk menaik taraf dan memberi manfaat kepada orang Melayu.

“Bagaimana ia akan dilakukan, tidak dijelaskan,” kata Mahathir.

Razak juga terpaksa menukar nama parti politik daripada Perikatan menjadi Barisan Nasional disebabkan wujudnya kerajaan perpaduan.

“(Setelah perubahan dilakukan) beliau dapat memimpin kerajaan yang kukuh,” kata Mahathir.

Menurut Mahathir, perdana menteri ketiga, Hussein Onn “tidak berfungsi dengan baik kerana tidak sihat dan sering sakit”.

Hussein kemudian melantik Mahathir sebagai timbalannya sebelum meletak jawatan.

“Saya bersyukur. Kemudian, saya mahu anaknya (Hishammuddin) menjadi perdana menteri. Tetapi Hussein tidak bertahan cukup lama untuk melaksanakan perubahan dalam kerajaan,” tambahnya.

Dalam tempoh 22 tahun Mahathir menjadi perdana menteri, dari 1981 hingga 2003, beliau sedar akan kekal dalam jawatan itu selagi dapat memenuhi keperluan rakyat.

Selepas Merdeka, katanya, rakyat tetap miskin kerana aktiviti perniagaan yang lemah. Oleh sebab itu, beliau mengambil pendekatan mesra perniagaan untuk mewujudkan pekerjaan dengan membina infrastruktur seperti lebuh raya, landasan kereta api, lapangan terbang, pelabuhan dan lain-lain, katanya.

Beliau digelar diktator katanya, dan timbul dakwaan bahawa beliau mengamalkan kronisme tetapi ia tidak dapat dibuktikan.

Timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi kemudian mengambil alih tetapi menimbulkan kemarahan Mahathir apabila beliau “tidak menepati janjinya” untuk meneruskan landasan kereta api berkembar dan projek “jambatan bengkok” antara Malaysia dan Singapura.

“Selepas seminggu, beliau berubah fikiran. Namun, beliau telah berjanji untuk meneruskan (projek) landasan berkembar,” kata Mahathir.

Mahathir berkata, beliau gembira apabila Najib Razak mengambil tampuk pemerintahan daripada Abdullah pada 2009.

“Saya sangat gembira. Saya fikir beliau akan jadi seperti ayahnya tetapi dalam waktu yang singkat, saya sedar bahawa itu bukan hakikatnya,” kata Mahathir, merujuk kepada pendekatan “wang adalah raja” Najib dan skandal 1MDB.

Beliau menyifatkan Najib sebagai “perdana menteri teruk” yang menjahanamkan kewangan dan pentadbiran negara.

Mahathir menjadi perdana menteri ke-7 selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), namun hanya dapat bertahan selama 22 bulan apabila orang kanannya dalam Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengambil alih.

Mahathir juga berbicara mengenai kegagalan Muhyiddin dalam menangani krisis Covid-19, yang menyebabkan lebih 20,000 kes baharu dilaporkan setiap hari.

Mengenai pemimpin masa depan beliau berkata, beliau tidak akan menyokong sesiapa pun dan terpulang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang bersih dan layak.

(fmt)

Leave a Reply