Mungkinkah Azalina Speaker wanita pertama Malaysia?

Hebahkan !!!

SIAPA kata dengan terlantiknya Perdana Menteri kesembilan bersama kabinetnya, gelora politik akan berakhir. Politik tidak akan pernah terhenti selagi ada rakyat dan pemerintah, selagi ada kuasa untuk dipertaruhkan serta selagi kita hidup dalam urusan sebuah negara

Begitulah juga dalam situasi Malaysia hari ini. Perjalanan dan peraturan politik masih lagi berlangsung rancak. Cuma bezanya sejauh mana besar gelora dan ombak tsunami politik itu. Jika kecil, maka kesannya tidak terlalu ketara, jika besar ia mungkin boleh menjadi satu catatan sejarah.

Dalam seminggu dua ini selepas surutnya tsunami politik negara, antara ahli politik yang menjadi tumpuan ramai ialah Datuk Seri Azalina Othman Said. Beliau mengemukakan beberapa cadangan pembaharuan termasuklah apa yang dinamakan recall election atau pilihan raya semula.

Walaupun sedikit berbeza dengan Akta AntiLompat parti, namun matlamatnya tetap sama. Misinya adalah untuk menghentikan perbuatan ahli politik membuat percaturan politik sendiri walaupun setelah rakyat bersuara menerusi pilihan raya. Bagaimanapun, perkembangan terbaru Azalina juga nampaknya semakin menarik.

Dengan kelantangan dan keberanian idea-idea pembaharuan, DAP mencadangkan tentang kemungkinan Azalina wajar dipertimbangkan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu. Dengan UMNO kini sedang berada di puncak kuasa, kemungkinan tentang pelantikan itu tidak mustahil memandangkan Speaker sedia ada bukanlah ‘pilihan hati’ UMNO. Jika benar ia terjadi, negara akan menyaksikan satu lagi sejarah iaitu memiliki Speaker wanita pertama Malaysia.

Azalina dalam pada itu, turut menggesa UMNO menangani kekeliruan di peringkat akar umbi berhubung kerjasama dengan pembangkang yang dilihat bertentangan dengan dasar ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’ yang diperkenalkan pada Perhimpunan Agungnya.

Dan memetik kata-kata Azalina mengenai perubahan politik tanah air, ‘Tiada kawan tetap, tiada musuh tetap dalam politik. Hari ini anda berkawan, esok anda bermusuh’.

Dengan Dewan Rakyat akan dibuka Isnin depan, rakyat mungkin ternanti-nanti apakah percaturan ahli politik Malaysia.

Source : Sinar Harian

Leave a Reply