Lelaki tumbuk pintu cermin masjid ditemukan maut di rumah sewa

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

GARA-gara berang pintu cermin masjid ditutup dan menumbuknya sehingga pecah, seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan.

Mayat mangsa ditemui di rumah sewanya di Taman Scientex, Pasir Gudang di Johor.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan telah mengamuk di Masjid Taman Scientex yang terletak berhampiran rumahnya apabila pintu masjid berkenaan ditutup selepas solat Isyak.

“Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid turut terdapat kesan tompokan darah.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) telah mendapati lelaki itu menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi lagi, siasatan awal turut mendapati kakak lelaki terbabit memaklumkan bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat ahli keluarganya di Kuala Berang, Terengganu selama kira-kira enam bulan.

Katanya, polis menerima aduan mengenai lelaki itu pada 7.35 pagi Ahad dan mayat mangsa telah dirujukkan ke Hospital Sultan Ismail untuk proses bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa adalah luka parah di pergelangan tangan kanan, saluran darah arteri dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes terbabit diklasifikasi sebagai mati mengejut,” tambah beliau..

Leave a Reply