Hafiz diusik hantu sebelum menang Seluruh England

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim menceritakan kembali detik sukarnya sebelum berjaya memenangi gelaran Seluruh England pada 2003 sehingga ke tahap pernah diganggu oleh hantu.

Hafiz berkata, selepas memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Manchester pada 2002, selang beberapa bulan, dia menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Sabah.

“Alhamdulillah dapat menang pingat emas untuk Selangor dalam acara individu dan juga berpasukan. Walaupun aku asal Kelantan, tetapi sebab aku dah bekerja atau menetap di Selangor lebih dari dua tahun, jadi aku secara automatik dah dikira boleh wakil Selangor. Tapi Kelate (Kelantan) tetap dihati, sek kito jange pecoh boh. Asal usul mana boleh lupa.

“Lepas balik Sukma, aku mula join latihan dengan pasukan kebangsaan di BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Aku bukan dalam pasukan kebangsaan masa itu, aku pemain kelab je.

“Masa berlatih kat dalam kem kebangsaan, memang power-power lah yang ada kat dalam tu. Persaingan besar. Latihan pun semakin kuat dan keras. Sampai ke tahap bukan sekadar kena ‘train hard’ je, kena ‘train smart’. Setakat ‘train hard’ je tak cukup,” katanya di akaun Instagram miliknya.

Cerita Hafiz lagi, dia diarahkan oleh jurulatih untuk berlatih bersungguh-sungguh bagi mempersiapkan diri ke kejohanan Seluruh England pada Februari 2003, iaitu hanya dalam tempoh enam bulan sahaja untuk berlatih ketika itu.

“Korang bayangkan selama enam bulan aku kena bangun hari-hari jam 5 pagi dan berlatih lebih dari 8 jam sehari, belum campur aku kena lari 2 jam sehari lagi.

“Bermulalah kisah berlatih macam orang gila sampai aku sanggup tidur kat ‘hall’ siap kena kacau dengan hantu semua macam-macamlah…tu pun dugaan juga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply