Bersedia dengan 1 lagi gelombang ketidaktentuan politik, kata Ahli Parlimen

Hebahkan !!!

Ketiadaan usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat bagi memperkukuhkan keabsahan kedudukan perdana menteri bukan petanda baik untuk kestabilan politik dan masa depan negara dalam jangka panjang.

Bagaimanapun salah seorang Ahli Parlimen Bersatu berkata, undi percaya bukan satu keperluan pada masa ini memandangkan pilihan raya boleh diadakan tahun depan.

Ia susulan perkembangan terbaru apabila aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen hari ini tidak menyenaraikan undi percaya terhadap perdana menteri.

Ahli Parlimen Amanah Khalid Abdul Samad berkata, tanpa undian itu, kerajaan akan mengalami krisis keyakinan yang sama pernah dihadapi oleh kerajaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa undian itu akan menyebabkan ketidakstabilan.

“Ia amat merisaukan apabila semua pihak mempertikaikannya dengan alasan mengapa kita tidak perlu mengadakan undi percaya,” katanya kepada FMT.

“Ia bukan isyarat positif kepada negara dan dunia selepas Malaysia dikhabarkan telah mencapai kestabilan politik susulan perubahan terhadap kerajaan dan perdana menterinya.”

Bersikap berani dan undi

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, kepercayaan terhadap perdana menteri seperti Ismail Sabri Yaakob, yang mengambil alih pemerintahan di tengah-tengah penggal, harus diuji.

Beliau memberi contoh Hussein Onn dan Abdullah Badawi yang menguji kepercayaan dalam tempoh seminggu selepas mengambil alih pentadbiran.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, sekiranya Ismail enggan, beliau akan dianggap mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu undi percaya dilakukan.

Katanya, keengganan itu mungkin disebabkan pertelingkahan berterusan dihadapi oleh parti-parti dalam kerajaan, iaitu Umno dan Bersatu serta dalam Umno sendiri.

“Kerajaan tidak stabil, sebab itu perdana menteri bimbang untuk menguji kepercayaan terhadapnya di Dewan Rakyat. Dengan mengelakkan undi percaya, ia memberi mesej yang salah kepada rakyat dan pelabur.

“Perdana menteri harus bersikap berani untuk berdepan undi percaya ini,” katanya.

Fokus mentadbir kerajaan

Ahli Parlimen Bersatu Mansor Othman berkata, fokus harus diberikan kepada tugas mentadbir kerajaan dan mengurangkan berpolitik ketika pandemik dan krisis ekonomi.

Katanya, menjelang pilihan raya tidak lama lagi, semua pihak perlu memberi peluang dan menjadikan masa sekarang sebagai tempoh bertenang berbanding mencari risiko mencetuskan satu lagi gelombang ketidaktentuan.

“Kita harus bergerak ke hadapan dan memberi fokus untuk berkhidmat untuk rakyat. Mandat penuh boleh diperolehi tahun depan. Buat masa ini, kita perlu lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Peguam Negara Idrus Harun berkata, tidak ada keperluan untuk melakukan usul undi percaya kerana Agong telah melantik Ismail sebagai perdana menteri dan mereka yang mempertikaikannya, turut mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun kenyataannya itu mengundang kritikan ahli politik dan penganalisis yang mengatakan ia hanya boleh ditentukan di Dewan Rakyat melalui undi percaya terhadap perdana menteri.

Source FMT

Leave a Reply