Lelaki gila mahu bakar dirinya dan isteri ditahan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk dan mengugut mahu memotong saluran tong gas petroleum cecair (LPG) untuk membahayakan diri ditahan  polis.

Kejadian mengejutkan orang ramai itu berlaku di sebuah premis rumah kedai di Jalan Semenyih Sentral 1, Semenyih hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya pergi ke lokasi berkenaan pukul 4.05 petang tadi mendapati suspek lelaki berusia 34 tahun memegang parang dan cuba masuk ke dalam tempat pengadu bekerja di sebuah syarikat penghantaran barang.

Suspek juga dipercayai terbabit dengan satu kes ugutan jenayah pada 28 Ogos lalu.

“Suspek berkenaan mengugut akan mencederakan sesiapa yang mahu melawannya sebelum pengadu kemudiannya menghubungi  polis namun apabila kami tiba, suspek sudah melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Zaid, semasa pihaknya cuba menahannya, suspek mengamuk dengan membaling dan memecahkan barang di dalam rumah.

Malah, katanya, suspek juga mengugut cuba membahayakan diri dan juga isterinya dengan berniat cuba memotong salur getah tong gas LPG yang diletakkannya di hadapan pintu rumah sambil memegang mancis.

Suspek juga mengunci pintu jeriji rumah kerana tidak mahu bekerjasama dengan polis.

“Polis meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih yang tiba jam 4.45 petang bagi membantu memberkas suspek.

“Tindakan itu diambil selepas lelaki itu gagal dipujuk dengan cara baik sebelum dengan bantuan bomba, kami dapat memasuki ke dalam rumah suspek dan berjaya menahannya.

“Semakan dilakukan mendapati suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod penyalahgunaan dadah,” kata Mohd. Zaid.

Semakan dilakukan juga mendapati suspek itu terbabit dalam dua lagi kes lain yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2 September lalu dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 29 Ogos lalu.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Keseksaan.

Sementara itu, Ketua BBP Semenyih, Mohammad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 4.47 petang sebelum sembilan pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian tersebut.

 

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk di premis berkenaan dan mengancam mahu membunuh diri serta isterinya dengan meletupkan gas LPG sambil memegang kotak mancisi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Kami memasang tangga di tingkat satu rumah kedai berkenaan dan membuka pintu jeriji menggunakan pemotong sebelum berjaya masuk ke dalam rumah dan menahan lelaki  itu serta telah diserahkan kepada pihak polis,” tegas Mohammad.-MalaysiaGazette

 

 

Leave a Reply