Kayu gergaji ‘sawn timber’ dirampas, nilai lebih RM245,000

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

TINDAKAN efisyen JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Pahang berjaya patahkan cubaan seludup masuk dan merampas kayu gergaji ‘sawn timber’ seberat 32.266 (MTQ) yang dianggarkan bernilai RM245,643.02.

MAQIS dalam kenyataan berkata, rampasan di Pelabuhan Kuantan, semalam melibatkan
kayu berkualiti yang cuba diseludup dari Amerika Syarikat oleh syarikat tempatan untuk pasaran domestik

Menurut kenyataan, kesemua kayu dirampas Penguatkuasa MAQIS hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada 3.30 petang.

“Barang dagangan terbabit ditahan untuk tindakan lanjut atas faktor mengemukakan Permit Import tamat tempoh kepada pihak MAQIS untuk kelulusan masuk.

“MAQIS akan terus memperketat kawalan di sempadan dan memastikan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara untuk memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana kesalahan mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah Akta ini.

Jika disabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Leave a Reply