Akta sekat agama bukan Islam tidak cermin konsep Keluarga Malaysia’

Hebahkan !!!

SEORANG Exco kerajaan negeri Selangor V. Ganabatirau mengecam cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang disifatkannya tidak mencerminkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Menurutnya, Malaysia tidak memerlukan undang-undang seperti ini. Sebaliknya, memerlukan undang-undang keharmonian kaum bagi mengukuhkan perpaduan.

“Kenapa Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) perlu keluarkan satu undang-undang baru yang memberikan kuasa untuk mengawal bukan Islam? Apakah kuasa yang ada pada Jakim?

“Perlembagaan Perkara 11(4) dengan jelas menerangkan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Bukankah ini telah jelas menerangkan sekatan yang ada pada agama lain?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary berkata bahawa kerajaan akan memperkenalkan 11 rang undang-undang syariah baru yang sedang digubal ketika ini, termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dibentangkan setelah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa masyarakat bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah”.

Bagaimanapun, Ganabatirau berpendapat bahawa pengumuman timbalan menteri agama itu termasuk terdapat empat undang-undang baru lain yang sedang digubal oleh Jakim telah mencetuskan kebimbangan di kalangan bukan Islam.

“Adakah Malaysia, negara tercinta kita sebuah negara Islam atau sekular? Lebih tepat lagi, adakah Perlembagaan nyatakan Malaysia merupakan sebuah negara Islam?

“Islam sebagai agama rasmi adalah berbeza dengan konsep Malaysia negara Islam.

“Tunku Abdul Rahman pada suatu ketika telah menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia adalah negara sekular. Bagi saya, ini sudah memadai bagi menerangkan maksudnya tersendiri,” katanya.

Tambahnya, pengumuman timbalan menteri itu menunjukkan PAS sebuah parti yang tidak boleh mentadbir negara yang berbilang kaum dan agama.

Leave a Reply