Ewal, Adda meniti hari bertunang

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Penyanyi Ewal Ismail, 29, berkongsi bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Adda, 33, pada Jumaat ini.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwan Hafiz Ismail berkata, dia cukup teruja meskipun gementar akhirnya hubungan mereka semakin dekat ke jenjang pelamin.

“Kami memutuskan untuk bertunang pada bulan lalu. Namun, pada Jumaat ini dirancang acara merisik, meminang, dan bertunang dibuat serentak dalam jam 4 petang di rumah Adda di Balakong.

“Semestinya rasa berdebar apabila terfikir beralih ke fasa lebih serius. Ia satu tanggungjawab besar yang baharu dalam hidup,” katanya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Kristal terbabit memaklumkan belum mendapat tarikh untuk pernikahan mereka. Menurutnya, persiapan kahwin hanya akan dimulakan selepas itu.

“Yang pasti, kami mungkin akan bernikah pada bulan November atau Disember. Kami masih menunggu tarikh yang sesuai daripada pihak jabatan agama.

“Memandangkan masih dalam tempoh pandemik, mungkin persiapannya pun jadi ringkas saja. Kita pun tidak pasti bagaimana ketetapan prosedur operasi standard (SOP) akan datang kan,” katanya.

Pada Julai lalu, Adda yang pernah menganggotai kumpulan Butterfly, mengesahkan bakal bernikah dengan Ewal, akhir tahun ini.

Sudah kenal lebih 15 tahun, hati masing-masing akhirnya terpaut untuk menjalin cinta sejak Jun lalu. Kebelakangan ini, mereka juga kerap memuat naik gambar mesra di media sosial.

Adda yang juga adik kepada Rody Kristal, pernah mendirikan rumah tangga dua kali. Pada perkahwinan kedua, dia dikurniakan sepasang cahaya mata, Tisha Deandra, 7, dan Aydan Zafarel, 6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply