PKS minta kakitangan baru 1 dos dibenar kembali bekerja

Hebahkan !!!

Majikan-majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merayu kerajaan agar mengizinkan para pekerja yang telah menerima dos vaksin pertama untuk kembali bekerja bagi mengelak-mengelak syarikat gulung tikar.

Presiden Persatuan PKS Michael Kang berkata, kira-kira 25% daripada PKS telah ditutup sejak “lockdown” pada pertengahan tahun dan lebih banyak akan menyusul.

“Kami tidak boleh menunggu syarikat penuhi syarat untuk teruskan operasi, iaitu 80% daripada kakitangan telah lengkap vaksinasi. Mereka yang telah menerima dos pertama patut dibenarkan bekerja atau buka perniagaan,” katanya kepada FMT.

Katanya, majikan bersedia bekerjasama memeriksa aplikasi MySejahtera pekerja mereka setiap hari untuk memastikan mereka tidak “merayau”.

Mereka yang belum lengkap divaksinasi hanya patut dibenarkan pergi ke tempat kerja, membeli makanan dan barangan keperluan. Dengan cara ini, katanya, tempat kerja akan menjadi lebih selamat.

“Mereka yang melanggar peraturan sekatan pergerakan tidak patut dibenarkan masuk kerja,” katanya, sambil menambah, pegawai-pegawai penguat kuasa boleh melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Kita perlu lihat semua sudut agar PKS dapat mulakan perniagaan mereka semula. Kita perlu cari jalan untuk bantu mereka peroleh pendapatan, bukan tutup perniagaan mereka buat tempoh yang lama.”

Kerajaan perlu faham, industri-industri kini berasa gelisah kerana mereka tidak lagi dapat membayar gaji dan sewa, malah ada yang bergelut dengan hutang sehingga tidak lagi mampu bangkit, tambahnya.

Apabila PKS dibenarkan beroperasi, kerajaan harus memperkenalkan SOP standard yang ringkas bagi semua negeri.

“Tiada lagi garis panduan berbeza bagi setiap negeri. Ia membingungkan. Ini masalah besar bagi kami. Mohon perkenalkan SOP standard di seluruh negara supaya kami dapat terapkannya dengan lebih baik dan elak disaman,” katanya.

Ada pegawai penguat kuasa bahkan memberitahu, mereka juga bingung dengan SOP yang berbeza-beza, menyebabkan mereka mengeluarkan saman apabila mereka tidak sepatutnya berbuat demikian, tambahnya.

Satu-satunya jalan ke hadapan, katanya, adalah agar semua orang berdisiplin dan bekerjasama untuk menggiatkan kembali ekonomi.

“Kita perlu belajar hidup bawah norma baharu,” tambahnya.

Pada Julai, bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga 580,000 perniagaan – mewakili 49% sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana – berisiko ditutup pada Oktober.

Beliau berkata, sektor mikro dan PKS Malaysia, yang menyumbang hampir 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, berada di ambang keruntuhan jika “lockdown” di seluruh negara berlarutan.

Leave a Reply