Isu lambakan Patin dan Udang Harimau selesai

Hebahkan !!!

Isu lambakan udang harimau dan ikan Patin sangkar yang tidak terjual susulan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai penternak hampir putus harapan.

Malah kesulitan memasarkan hasil membabitkan penternak ikan Patin sangkar di Pahang dan udang harimau di Melaka turut berpunca penurunan permintaan di peringkat pengguna.

Bagaimanapun Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) segera merangka beberapa kaedah pemasaran jangka pendek bagi menangani isu lambakan bekalan udang harimau dan ikan patin sangkar itu.

Unit Komunikasi Korporat LKIM, MAFI dalam kenyataannya memaklumkan LKIM mengadakan rundingan bersama pihak kilang memproses udang di Johor Bahru iaitu A&O Food Industry untuk menjual udang harimau yang diternak di Melaka.

“Kilang berkenaan bersetuju membeli sebanyak dua tan udang bagi setiap satu kali pengambilan secara berperingkat. Udang berkenaan akan disejuk beku untuk pasaran luar negeri manakala udang segar pula akan dieksport ke Singapura.

“Selain itu, usaha mencari ruang pasaran tempatan di Selangor dan Terengganu turut dilakukan dan mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pembeli,” menurut kenyataan itu.

MAFI menyatakan pemasaran secara terus melalui platform sedia ada seperti kerjasama dijalankan bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi pasaran dalam talian akan dipertingkatkan selain secara bayaran semasa penghantaran (COD) dan daripada peniaga runcit individu.

Dalam usaha menangani isu lambakan ikan patin pula, LKIM menyediakan saluran pemasaran menerusi 14 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) Ikan Air Tawar di sekitar Pahang meliputi kawasan Pekan membabitkan tiga pusat, Kuantan (satu), Bera (tiga), Temerloh (lima), Lanchang (satu) dan Triang (satu).

MAFI turut memaklumkan pembelian ikan Patin juga akan dibuka kepada NEKMAT dan Persatuan Nelayan Kawasan melalui geran modal pusingan pemasaran ikan serta memudah cara padanan pasaran dengan menawarkan kepada mana-mana peniaga ikan dan usahawan pemprosesan seluruh negara untuk mendapatkan secara terus daripada penternak yang terjejas.

“Langkah yang diambil ini dijangka dapat membantu mengatasi kerugian dan memberi kelegaan kepada penternak udang harimau di Melaka dan ikan Patin sangkar di Pahang untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.

“Mereka yang terjejas juga dinasihatkan menyusun semula jadual yang disesuaikan dengan situasi semasa bagi mengelakkan kerugian pada masa akan datang,” katanya.

MAFI turut menjelaskan pasaran dijangka kembali pulih sedikit masa lagi susulan pembukaan sektor yang menyumbang kepada permintaan seperti industri makanan dan minuman, hospitaliti, pemprosesan serta pasaran import dan eksport mengikut peringkat Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan apabila negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

Isnin lalu, media melaporkan Melaka menanggung lambakan udang harimau seberat 15 tan bernilai RM450,000 selepas permintaan ke atas makanan laut itu susut mendadak.

Dua hari kemudian, dilaporkan lebih 50,000 ikan patin yang diternak pengusaha di Sungai Jelai di Lipis, Pahang turut berdepan masalah sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply