PABM gantung serta merta 2 atlet angkat berat positif doping

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan dua atlet yang sebelum ini dilapor positif gunakan bahan terlarang adalah atlet angkat berat.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, kedua-dua badang itu telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.

Beliau berkata, PABM memberi kerjasama penuh kepada panel pendengaran serta siasatan yang akan ditubuhkan dan bakal dilaksana sepenuhnya Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dalam masa terdekat.

“PABM tidak akan berkompromi mana-mana atlet, jurulatih atau pegawai terlibat dengan doping. Tindakan mengambil bahan larangan ini sudah pastinya mewujudkan persaingan secara tidak sihat serta mengakibatkan maruah sukan ini tercalar.

“PABM akan mengambil tindakan lanjut berkaitan isu ini setelah keputusan penuh pendengaran dan siasatan lengkap diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PABM terus bekerjasama dengan Adamas bagi melaksanakan ceramah, bengkel, kursus kefahaman anti-doping kepada semua atlet, jurulatih dan para pegawai.

Pengarah Adamas Azura Abidin sebelum ini menyatakan, dua atlet kebangsaan sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), didapati positif dalam ujian Jun lepas tetapi tidak dedahkan jenis sukan.

Azura turut mengesahkan kedua-dua atlet terbabit belum meminta untuk mencabar Sampel B dan kes itu masih dalam proses pengurusan keputusan peringkat Adamas.

“Menjadi obligasi Adamas menjalankan tanggungjawab ini dengan sulit tanpa ada sebarang gangguan,” kata Azura semalam.

Kes ini bukan kali pertama sukan angkat berat negara dikejut dengan kontroversi doping, apabila PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun mulai 1 April 2020, selain semua atlet angkat berat negara tidak dibenar menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana masalah doping.

PABM juga pernah didenda AS$25,600 atau kira-kira RM110,000 pada 2019 berikutan kes doping membabitkan empat atletnya.

Selain itu, PABM pada 2018 mengenakan penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Mohd Hafifi Mansor serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus kerana positif doping.

Leave a Reply