Pekerja kontraktor Petronas ditahan, bantu siasatan polis

Hebahkan !!!

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) sahkan seorang pekerja kontraktornya di Kompleks Bersepadu Pengerang, ditahan pihak berkuasa untuk membantu siasatan dakwaan kehilangan ramai ahli keluarga akibat Covid-19.

Petronas dalam kenyataan media semalam, menyebut, lelaki itu juga ditahan bagi membantu siasatan pihak polis berkenaan sumbangan wang yang diterimanya selepas dakwaan itu.

Kata kenyataan itu, pihak syarikat akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan kes terbabit sehingga selesai dan tidak berkompromi mengenainya.

“Kami ingin menekankan bahawa, syarikat tidak berkompromi dengan salah laku oleh mana-mana pekerja dan kontraktor kami.

“Kesemuanya terikat dengan tata kelakuan dan etika perniagaan ketat (CoBE) semasa mereka berkhidmat untuk Petronas dan juga kumpulan syarikat kami,” kata kenyataan itu.

Pihak polis semalam turut mengesahkan bahawa sedang menyiasat satu aduan penipuan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Siasatan dijalankan susulan laporan yang dibuat salah seorang pegawai Petronas Pengerang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan kes itu diklasifikasi dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu, tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook, mengenai dakwaan kononnya seorang lelaki bertugas di Petronas Pengerang kehilangan 14 insan tersayang termasuk isteri dan 8 anak akibat Covid-19 baru-baru ini.

Dalam dakwaan dimuat naik itu, turut tular satu permintaan kepada orang awam menyalurkan bantuan sumbangan ikhlas kepada lelaki terbabit bagi meringankan beban ditanggungnya.

Leave a Reply