Kereta mewah berlumba pandu lawan arus

Hebahkan !!!

Tindakan empat lelaki menguji kelajuan kereta mewah masing-masing di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Awan Besar mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Operasi Khas Samseng Jalanan, malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menjalankan operasi berkenaan dengan kekuatan dua pegawai dan 19 anggota daripada Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman, antara 10 malam hingga 4.45 pagi tadi.

“Pada 11.20 malam pasukan operasi melihat dua kereta jenis Nissan GTR R35 secara melawan arus didapati bersaing secara sendiri sehingga ke susur keluar kawasan rehat dan rawat (R&R) Awan Besar.

“Pada 11.50 malam dua kenderaan lain jenis BMW M6 dan Mercedes Benz A14 didapati melakukan aksi sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pada 12.30 tengah malam semua suspek dilihat memberhentikan kenderaan di kawasan parkir R&R Awan Besar dalam keadaan selamat.

“Susulan itu, sepasukan polis kemudian menghampiri semua suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun dan menahan sebelum membawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya.

– HMetro

Leave a Reply