KEHADIRAN cahaya mata sulung menjadi detik terindah dan dinanti-nantikan setiap pasangan yang berumah tangga.Detik dan saat bahagia itu dinantikan pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir yang bakal menimang cahaya mata pertama mereka hujung bulan ini.

Muncul dalam sesi temu bual secara virtual selepas mengumumkan jantina bayi baru-baru ini, Ayda dan Nabil berkongsi pengalaman mereka melalui fasa kehamilan dan cara mereka menyembunyikan jantina bayi sebelum mengumumkan secara rasmi, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, sekarang tinggal kurang sebulan sebelum saya bersalin penghujung bulan ini. Apa yang boleh saya katakan, untuk menyembunyikan jantina bayi ini terutama daripada pengetahuan keluarga adalah satu proses yang begitu mencabar,” kata Ayda.

Menurut pelakon dan penyanyi itu, dia yang kini menetap di kediaman

keluarga Nabil perlu mengatur strategi terbaik untuk memastikan rahsia itu tidak terbongkar.

“Setiap barang atau apa saja barang keperluan bayi yang kami beli, kami cuba sorok supaya mereka tak tahu.

“Memang mencabar juga kerana kami takut mereka ternampak barang yang ada. Kalau tak, nanti tak menjadilah kejutan seperti dirancang,” katanya.

Bapa Nabil juga kerap kali bertanya mereka mengenai jantina bakal cucunya itu.

“Ayah Nabil selalu memancing supaya kami membongkarkan rahsia itu, tapi kami tetap berkeras untuk merahsiakannya.

“Kadang-kadang rasa bersalah juga. Tapi, apakan daya sebab kami memang rancang untuk beri kejutan kepada semua,” katanya.

Ditanya mengenai nama yang akan dipilih untuk bayi perempuan mereka, Ayda dan Nabil belum membuat sebarang keputusan.

“Nama itu sebutan dan doa. Apabila kita tahu maksud sesuatu nama dan menyebut nama itu, mestilah kita nak nama yang baik serta afdal,” kata Nabil.

Ayda pula memaklumkan suaminya mahukan nama yang memiliki maksud dalam Islam.

“Kami ada menyenaraikan beberapa nama, cuma belum buat sebarang keputusan. Nabil lebih suka kalau nama yang dipilih ada maksud dalam Islam.

“Yang saya pilih, kadang-kadang pelik sikit. Jadi, dia akan tanya dulu, apa maksud nama yang saya pilih itu dalam Islam,” katanya.

Walaupun belum dilahirkan, bayi dalam kandungan itu sudah mula meraih rezeki apabila ditawarkan penajaan produk barangan bayi.

“Setakat ini, sudah ada beberapa jenama yang menyuarakan hasrat untuk menaja. Jadi, itu juga adalah rezeki. Alhamdulillah,” katanya.

Berkongsi mengenai situasi pandemik Covid-19, Ayda juga tidak terkecuali daripada rasa paranoid memandangkan dia sedang sarat mengandung.

“Alhamdulillah, sepanjang proses kehamilan ini, saya tak ada mengalami sebarang sakit kronik. Bayi dalam kandungan pun, alhamdulillah sihat.

“Cuma saya takut untuk keluar rumah. Kalau keluar pun, hanya untuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan. Barang keperluan bayi, kami beli secara dalam talian dan bila sampai di rumah, memang akan biarkan dulu di luar dan kemudian saya akan semburkan pembasmi kuman,” katanya.

Pada masa sama, Ayda juga tidak mahu rasa takut itu terlalu mengawal dirinya dan menimbulkan rasa kebimbangan yang keterlaluan atau ‘anxiety’.

“Kalau boleh, saya tak nak terlampau takut. Apabila baca sesuatu yang boleh menimbulkan ketakutan, saya akan langkau.

“Apabila terlalu banyak berfikir, kita akan rasa takut dan menyebabkan rasa ‘anxiety’. Jadi, saya rasa cara terbaik adalah, elakkan,” katanya.

Dalam temu bual sama, Ayda juga berkongsi semangat kepada wanita yang takut hamil dalam tempoh pandemik ini.

“Kepada wanita yang takut hamil, rezeki dan penyakit itu kedua-duanya daripada Allah. Kalau kita tolak kehadiran bayi itu, ia umpama kita menolak rezeki yang Allah bagi. Memang kita tak tahu apa yang akan berlaku pada hari mendatang. Jadi, kita sebagai manusia mesti bertawakal,” katanya.

Pada masa sama, Ayda juga mengajak ibu mengandung sana untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Mungkin tak ramai ibu mengandung yang menolak vaksin. Kalau ada yang menolak, mungkin kerana beberapa sebab contohnya mereka sukar untuk mengandung dan takut kalau-kalau ada perkara tak diingini berlaku kepada kandungan.

“Selalunya, kalau ada yang bertanya kepada saya, saya akan jelaskan kepada mereka bahawa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), ada ramai doktor yang bertugas dan kita boleh terus bertanya kepada mereka.

“Saya faham, sebagai ibu mengandung, kita akan lebih pentingkan keselamatan bayi dalam kandungan. Jadi, jangan takut. Bukan saya saja, bahkan ramai dah ambil vaksin,” katanya.

Ayda dan Nabil juga berharap peminat mereka mendoakan kesejahteraannya dan bayi dalam kandungan.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 selepas lapan bulan mengikat tali pertunangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd