Kantoi ,Guna Identiti Orang Lain Untuk Dapat Vaksin

Hebahkan !!!

Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap wanita Myanmar atas tiga kesalahan termasuk menggunakan identiti individu lain bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas That That Mar, 27, selepas dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

That Mar yang juga pekerja kedai makan dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, dengan Muhammad Nazrin membenarkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memperdayakan doktor dan jururawat di sebuah klinik swasta di Taman Cheng Perdana dengan menyatakan dirinya adalah pemilik kepada nombor pasport milik individu lain.

Tindakan tertuduh yang juga pekerja kedai makan telah mendorong doktor dan jururawat terbabit untuk memberikannya suntikan vaksin Covid-19 dos pertama dan kedua pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai warga asing didapati masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan dengan itu, kesalahan didakwa mengikut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Anis Najwa memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukannya, namun tertuduh merayu supaya hukuman berbentuk denda dikenakan dan memaklumkan dia mahu pulang ke pangkuan keluarganya.

Muhammad Nazrin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply