Ketua ajaran PMYT ditahan,  beberapa barang turut dirampas

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

SEORANG wanita yang dipercayai dalang  fahaman ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) telah ditahan polis di rumahnya di Shah Alam pada awal pagi, Sabtu (4 Sept).

Menerusi kenyataan media, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Basri Sagoni berkata, wanita berusia 39 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1.10 pagi di rumahnya dan pasukan polis turut merampas beberapa jenis barangan.

Antara dirampas katanya termasuklah lima telefon bimbit, satu kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan bernilai RM84,721 dan sepasang telekung putih.

Menerusi kenyataan yang sama, polis juga memaklumkan, suspek pernah membuat satu laporan menafikan kewujudan kumpulan ajaran sesat atau fahaman bertentangan dengan ajaran Islam, selain menafikan semua tuduhan, termasuk tindakan boleh mengancam keselamatan negara.

Basri berkata suspek ditahan reman empat hari sehingga 7 September bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular dalam media sosial apabila individu bernama Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT yang mendakwa bahawa Perang Dunia Ketiga akan bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Wanita itu juga didakwa mempunyai beberapa keistimewaan dan mampu meramalkan apa yang akan berlaku.

Setakat hari ini, polis telah pun menerima enam laporan di lima balai polis berhubung isu yang berkaitan ajaran ini.

Leave a Reply