Kami OKU, namun semangat kenegaraan kental – Ramli

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR / Pic

WALAUPUN terbatas pergerakan dan kurang sempurna fizikal, namun mereka memiliki semangat kental untuk meraikan sambutan penting negara dengan cara tersendiri.

“Sekali pun bertongkat, jalan berpapah mahupun berkerusi roda, pekak atau bisu, keinginan dan semangat kami untuk turut meraikan hari kemerdekaan negara perlu sentiasa kental seperti insan normal.”

Itu antara kata-kata azimat dikongsikan oleh Pengerusi Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insan), Mohd. Ramli Ab. Rahman setiap kali bertemu orang kelainan upaya (OKU) bernaung di bawah persatuan itu.

Bagi Mohd. Ramli yang dalam misi untuk menyantuni ahli Insan di seluruh negeri che siti wan kembang sambil mengagihkan Jalur Gemilang dari rumah ke rumah ahli persatuan sepanjang Ogos lalu.

Hasil daripada misinya itu, beliau telah berjaya menemukan seramai 450 keluarga OKU di seluruh Kelantan.

Ketika bercakap kepada pengamal media,
Mohd. Ramli berkata, kecacatan fizikal bukan halangan dan juga tidak sepatutnya membataskan semangat golongan OKU untuk bersama memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64, 31 Ogos lalu.

Ujarnya, biarlah orang pandang OKU yang terbatas kudratnya, namun kental berjiwa patriotik seperti insan normal yang lain sebagai salah satu cara mainkan peranan menyemarak semangat kemerdekaan selain cekal mempertahan kedaulatan negara yang dinikmati sekarang.

SEMANGAT dan semarak kemerdekaan perlu sentiasa dipupuk dalam diri generasi muda terutamanya. - Gambar Hiasan
SEMANGAT dan semarak kemerdekaan perlu sentiasa dipupuk dalam diri generasi muda terutamanya. – Gambar Hiasan

“Saya menyeru rakan-rakan OKU semua agar kita tonjol semangat cintakan tanah air dengan cara mengibar Jalur Gemilang di kawasan masing-masing,” katanya ketika hadir menyampaikan bantuan alat sokongan kepada beberapa OKU, baru-baru imi.

Jelas Mohd. Ramli, Persatuan Insan yang berpejabat di Pasir Puteh, sentiasa akan proaktif membantu setiap warga OKU dan menjadi penghubung bagi golongan serba kekurangan itu mendepani cabaran hidup khususnya dalam situasi COVID-19 ini.

Katanya, sepanjang tahun 2021 ini, Insan telah pun mengagihkan sebanyak 15 kerusi roda, 35 tongkat pelbagai bentuk serta bantuan barangan keperluan dapur sesama ahli bagi meringankan beban mereka dalam mengharungi musim pandemik.

“Kami bersyukur dengan kurniaan rezeki diterima termasuklah elaun bulanan yang disediakan kerajaan disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami mungkin tidak akan dapat menikmati kemudahan dan keistimewaan begini jika negara kita masih dijajah,” ujarnya.

Leave a Reply