Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT

Hebahkan !!!

TINDAKAN tegas akan dikenakan terhadap mana-mana anggota unit beruniform yang didapati menyertai ajaran sesat dikenali Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Itu amaran Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani terhadap anggota beruniform yang didakwa menjadi pengikut ajaran PMYT ini.

“Kita akan teliti dan menyemak maklumat ini. Sekiranya betul dakwaan tersebut, sudah tentu kita akan kenal pasti siapa anggota terlibat dan tindakan pasti akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, polis masih dalam proses siasatan dan mengumpul maklumat mengenai anggota mahupun pengikut ajaran PMYT tersebut.

Kata Acryl Sani jika lihat pada sejarah, ajaran sebegini bukan perkara baharu malah, pasukan polis pernah berdepan dengan gerakan sebegini dan ia berjaya diatasi dari semasa ke semasa.

“Sudah lama tidak dengar (ajaran sesat), sekarang dengar balik dan kita telahpun kenal pasti individu terlibat dan kita akan menyelia rapat serta bertindak bagi mengatasi perkara ini.

“Kita ada teknik, cara dan kaedah akan dilaksanakan dan dalam hal ini, polis tidak leka dan akan sentiasa memastikan tidak timbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada majlis serah-terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Pada majlis itu, Datuk Idris Abdullah dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah bagi menggantikan Datuk Hazani Ghazali yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Jelas Acryl Sani, bagi menangani ajaran sebegini tidak boleh tergesa-gesa kerana membabitkan agensi lain seperti jabatan agama Islam dan perlu maklumat lengkap dengan bantuan dan nasihat jabatan agama

Sebelum ini, seorang wanita telah muncul menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mengembang ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan ajaran Islam.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam dikesan menyebar ajaran itu sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuklah kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga tercetus di Sabah sebelum memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Sumber : UTUSAN ONLINE

Leave a Reply