Arwah abang jadi ‘guru’

Hebahkan !!!

KETIKA penulis membuat carian di Internet, namanya tersenarai antara individu yang berpengaruh dalam bidang e-sukan negara.

Ramona Azween Zaharuddin adalah satu nama cukup besar dalam permainan video Counter Strike Global Offensive (CS:GO) bukan sahaja di negara ini namun di peringkat antarabangsa.

Melihat senarai kemenangan yang diperoleh dalam banyak kejohanan besar di dalam mahupun luar negara, tiada siapa dapat menyangkal kebolehan wanita dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini.

Jadi tidak hairanlah, dengan kemampuan dan kemahiran dimiliki, dia dilamar untuk menyertai pasukan terkemuka e-sukan Asia, Tyloo.HSG yang berpangkalan di China.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum bergelar atlet profesional, Ramona berkata semuanya bermula daripada arwah abangnya, Zashafarez yang memperkenalkan permainan video Counter Strike 1.6.

“Pada mulanya saya kurang berminat namun melihat kesungguhan abang memberi tunjuk ajar, saya teruskan dengan meluangkan masa bersama.

“Bagaimanapun selepas abang meninggal dunia, saya berhenti bermain (permainan video) selama dua tahun kerana sukar untuk menerima ketiadaannya.

“Kemudian suatu hari saya buat keputusan untuk ke kafe Internet yang sering dikunjungi arwah abang dan tanpa disedari saya menjadi selesa dan tenang ketika bermain permainan video.

“Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang untuk terus serius dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, untuk sampai ke tahap sekarang, laluan yang ditempuhi tidak mudah kerana ramai yang melihat e-sukan bukan satu karier.

Pada awal pembabitan secara kompetitif dengan pasukan tempatan, Orange Sphynx, dia bersama rakan pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk penerimaan dalam industri ini.

“Ketika itu bidang ini didominasi lelaki, jadi agak janggal apabila wanita dilihat bermain permainan video secara kompetitif.

“Banyak kritikan diberikan namun saya jadikannya sebagai kekuatan untuk lakukan lebih baik sehingga berjaya memenangi banyak pertandingan termasuk Zowie DIVINA Women’s Asia CS:GP Championship dan layak bermain di World Finals di Sepanyol,” katanya.

Katanya, kemudian dia mendapat peluang mengembangkan kariernya apabila ditawarkan untuk menyertai pasukan Tyloo.HSG dari China.

“Saya akui pada mulanya berdepan masalah komunikasi selain tertekan kerana perlu berjauhan dengan ibu namun dengan bantuan organisasi dan rakan pasukan di sana, saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Dengan bantuan mereka, saya dapat meningkatkan kemahiran bahasa Mandarin dan selepas beberapa tahun, saya dilantik menjadi ketua pasukan dan jurulatih kedua,” katanya.

Bagi Ramona berpeluang beraksi di luar negara adalah satu kebanggaan apabila dapat membawa nama negara ke pentas dunia melalui permainan video.

“Saya sentiasa pastikan bendera Malaysia tersemat di jersi pasukan sebagai pembakar semangat ketika beraksi,” katanya.

Jelasnya, untuk menjadi atlet profesional dalam e-sukan bukan perkara mudah dan menuntut banyak pengorbanan untuk berjaya.

“Permainan video adalah sesuatu yang menyeronokkan namun ia berbeza jika bermain secara kompetitif.

“Setiap hari, latihan dijalankan secara konsisten selain perlu melakukan analisis bersama jurulatih dan rakan pasukan. Kemudian saya peruntukan beberapa jam bermain secara individu untuk tingkatkan kemahiran diri,” katanya.

Ramona melihat kini pembabitan wanita dalam e-sukan secara profesional di negara ini semakin meningkat susulan banyak pendedahan dan peluang pekerjaan disediakan.

“Saya bangga melihat bagaimana e-sukan di negara ini berkembang dengan turut memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk terbabit secara langsung.

“Laluan untuk berjaya tidak mudah namun dengan keyakinan diri, disiplin dan kesungguhan, Insya-Allah anda mampu mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply