Wei Lun Menang Perak Ceriakan Kontinjen Malaysia

Hebahkan !!!

Pencapaian mengejutkan atlet boccia negara Chew Wei Lun, yang membutirkan perak setidak-tidaknya menceriakan kembali kontinjen negara, pada hari kelapan Sukan Paralimpik Tokyo selepas menempuh hari penuh suram, semalam.

Penampilan pertama pemain ke-11 dunia di pentas Paralimpik yang bersaing dalam acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal), ternyata mengagumkan walaupun tewas dalam aksi final kepada juara bertahan dari Great Britain, David Smith, 2-4 di Ariake Gymnastics Centre.

Atlet berusia 26 tahun dari Johor itu juga, gah dengan mencatat rekod bersih tanpa kalah sebanyak enam perlawanan termasuk empat di peringkat kumpulan B, sebelum disekat kemaraannya oleh David pada perlawanan akhir.

Katanya, pencapaian itu amat bermakna kerana beliau dan pasukannya berjaya memperkenalkan boccia kepada rakyat Malaysia, untuk mengenali sukan itu dengan lebih dekat.

Wei Lun membantu Malaysia menambah koleksi pingat perak kepada dua, selepas atlet powerlifting Jong Yee Khie merangkul perak pertama dalam kategori lelaki 107kg Isnin lalu, manakala Bonnie Bunyau Gustin, yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pula menghadiahkan emas pertama Sabtu lepas.

Leave a Reply