Penterjemah perbicaraan ‘Osama Asia Tenggara’ berat sebelah

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

PEGUAM bela tiga suspek pengeboman Bali 2002 yang dibicarakan di mahkamah tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, mempersoal sikap berkecuali dan berat sebelah ditunjuk penterjemah Indonesia yang digunakan dalam perbicaraan itu.

Peguam bela Mohammad Nazir Lep, Mohd Farik Amin dan Encep Nurjaman juga dikenali Hambali, mempertikai khidmat penterjemah itu di awal perbicaraan suspek berkenaan, lapor portal BenarNews yang mengikuti sesi perbicaraan itu.

Ketiga-tiga suspek mula dibicarakan Isnin lalu selepas ditahan selama 15 tahun dalam penjara tentera AS di negara kepulauan itu atas dakwaan terlibat dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada tahun 2002 dan juga letupan di Jakarta.

Kesemua suspek muncul buat pertama kali selepas ditangkap, kelihatan berjambang dengan memakai pelitup muka dan berbaju hitam atau putih serta berseluar panjang, duduk tanpa digari di bawah kawalan ketat.

James Hodes, ketika pembelaan Hambali berhujah, penterjemah digunakan dalam proses perbicaraan perlu disingkir kerana tidak bersikap bebas apabila membuat kenyataan ke semua suspek adalah penganas dan harus dibunuh.

Namun hakim terbabit dalam perbicaraan itu, Komander Hayes Larsen menolaknya.

Peguam bela Mohd Farik, Christine Funk, juga melahirkan kekecewaannya tentang keupayaan penterjemah dalam sesi berkenaan yang disifatkan sebagai tidak fasih berbahasa Inggeris.

Hakim kemudiannya meminta peguam turut membantu mahkamah untuk dapatkan khidmat penterjemah tepat bagi sesi perbicaraan.

Sebelum itu, Hambali dituduh sebagai perancang utama dalam serangan Bali meminta dirinya diwakili oleh seorang peguam Indonesia sebagai tambahan kepada pasukan penguam bela sedia ada.

Hambali ditangkap di Thailand pada Ogos 2003 bersama-sama dua rakyat Malaysia iaitu, Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Amin. Mereka dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara di Teluk Guantanamo pada September 2006.

Hambali turut dikenali sebagai “Osama Asia Tenggara,” menghadapi lapan pertuduhan pengganas berkaitan serangan pengeboman Bali manakala dua rakyat Malaysia pula menghadapi sembilan pertuduhan. Kesemua pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

Perbicaraan pertama diadakan dalam tempoh tujuh tahun sepatutnya berlangsung Februari tetapi ditangguh akibat pandemik Covid-19.

Pada January 2021, lapan hari selepas Presiden Joe Biden mengangkat sumpah, Pejabat Suruhanjaya Tentera mengumumkan ketiga-tiga suspek akan dihadap ke mahkamah tentera.

Leave a Reply