Misbun puji inisiatif Norza

Hebahkan !!!

Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek memuji tindakan presiden badan induk itu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengetengahkan bakat-bakat muda ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata pendedahan seawal mungkin adalah perlu untuk menjadi kayu pengukur kepada terhadap kedudukan dan prestasi semasa mereka serta mengenal pasti siapakah yang memiliki kualiti yang diperlukan.

“Dari situ nanti, kita akan tahu dan dapat ‘fine talent’ yang cantik. Jika kita tidak ajukan seperti ini dengan pertandingan di luar, kita tidak akan tahu.

“Jika pertandingan yang kecil sekalipun kita susah untuk menang, bagaimana kita mahu sasarkan yang besar? Sebab itu, kita ajukan pemain muda, biar mereka cari pengalaman dan jurulatih buat penilaian.

“Jika tidak, kita mempunyai banyak pemain tetapi masih di takuk lama. Saranan daripada pengurusan dan Tan Sri Norza adalah sangat baik dan saya sangat setuju apa yang beliau buat sekarang. Ini penting untuk masa depan badminton negara,” kata Misbun.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pemain muda dalam Kejohanan Ranking Dalaman Remaja yang berakhir, semalam, Misbun berkata, ada peningkatan dari aspek kecergasan yang mana pemain mampu bertahan dalam permainan untuk tempoh yang panjang.

“Dari satu aspek, pemain remaja ini memiliki kecergasan yang baik di mana setiap perlawanan berakhir dengan tempoh masa yang panjang.

“Pada saya semuanya adalah kecergasan. Bagusnya buat masa ini pemain pemain yang ada ketika ini tidak mengalami kekejangan otot, atau terseliuh dan cara permainan begitu lama.

“Maksudnya kecergasan mereka sudah banyak meningkat. Daripada corak permainan, taktikal apa yang saya lihat sudah sedia ada,” katanya.

Pemain remaja negara mengharungi saingan Ranking Dalaman Remaja BAM yang diadakan. bermula 23 hingga 27 Ogos lalu sebelum 12 pemain perseorangan lelaki dan 8 daripada perseorangan wanita beraksi di pusingan playoff yang berlangsung selama dua hari dan berakhir, semalam.

Kejohanan ini menjadi platform bagi menentukan ranking pemain remaja dalam kumpulan yang ditentukan selain menjadi kayu ukur terhadap prestasi semasa mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply