PM tidak wajar ketuai MPN – Mukhriz

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR :Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak wajar diketuai Perdana Menteri bagi mengelak pertimbangan politik mempengaruhi syor atau langkah bakal diambil.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya bimbang ada syor drastik tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan takut populariti politik mereka merosot.

Katanya, beban itu boleh dielakkan jika MPN diangkat sebagai sebuah badan berasingan dan apabila mereka membuat keputusan yang tidak popular, ia tidak memberi kesan kepada imej kerajaan.

“Misalnya, pakar kesihatan mencadangkan dibuat sekatan pergerakan penuh selama dua minggu bagi menangani COVID-19.

“Jika memikirkan kesan kepada parti pemerintah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sudah tentu kerajaan tidak berani membuat keputusan tidak popular walaupun ia mustahak untuk dilaksana.

“Jadi, serahkan saja kepada sebuah badan terasing (daripada kerajaan), yang tidak ada unsur politik untuk memikul beban tanggungjawab itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Mukhriz berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat gambaran jelas mengenai bentuk MPN yang turut disebut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, MPN dikatakan bakal diketuai Perdana Menteri sendiri dan PEJUANG berpendapat cara itu tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Akhirnya ia jadi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Jadi, MPN ini mesti sebuah badan bebas yang mungkin boleh mengesyorkan langkah radikal yang tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana kita menghadapi satu krisis membabitkan nyawa manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, PEJUANG menaruh harapan supaya Perdana Menteri memberi pertimbangan sewajarnya terhadap MPN dan menyembah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan majlis itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya.

Ditanya apa pendirian PEJUANG jika Dr Mahathir tidak dilantik mengetuai MPN, Mukhriz berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan dari segenap segi.

“Idea daripada MPN mesti ada penggerak yang mempunyai pengalaman dan mudah berinteraksi dengan pakar yang relevan.

“Dr Mahathir sendiri membuat jaminan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PEJUANG jika dilantik mengetuai MPN.

“Dia tidak akan beri pertimbangan soal politik kepartian PEJUANG, sebaliknya hanya nak tumpu perhatian kepada MPN untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Mengulas pengenalan akta anti-lompat parti, Mukhriz berkata, perkara itu amat dialu-alukan kerana perbuatan sedemikian antara punca permasalahan politik yang berlaku kini sehingga ke tahap menumbangkan sebuah kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, perlu ada sedikit ruang untuk wakil rakyat meninggalkan parti mereka atas alasan munasabah, bukannya seperti yang berlaku di Sabah pada 2020 apabila 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti secara tiba-tiba sehingga pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

“Jika perlu tetap mengosongkan kerusinya, dia mesti diberi hak bertanding di kerusi sama tetapi atas nama parti lain atau secara Bebas.

“Kita ada undang-undang yang menjamin hak seseorang untuk menyertai mana-mana organisasi atau parti dan hak keluar daripadanya.

“Itu sudah termaktub sebagai satu hak asasi, saya harap undang-undang yang nak dibentangkan di Dewan Rakyat perlu ambil kira aspek itu, jangan bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

BH semalam melaporkan antara yang menjadi keutamaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ialah memperkenalkan akta anti-lompat parti, transformasi Parlimen dan mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal saja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply