BKC dibayar mulai 6 September, memanfaatkan 10 juta penerima

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR / Pic

BANTUAN Khas COVID-19 (BKC) fasa satu akan mula dibayar Isnin depan melibatkan sejumlah RM3.1 bilion peruntukkan yang disalur kerajaan bagi membantu ringankan beban rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan disalur BKC memanfaatkan 10 juta penerima terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksana mulai Ogos lalu, justeru saya telah pun mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

“Hari ini, dana berjumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan dan proses pengkreditan fasa satu BKC akan bermula 6 September ini dan dijangkakan selesai pada 10 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

BKC ialah sebahagian peruntukkan yang disalur melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan 28 Jun lalu, selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Kriteria kelayakan penerima untuk miskin tegar dan B40, berdasarkan semakan Bantuan Prihatin Rakyat 2021 iaitu pendapatan RM5,000 ke bawah bagi isi rumah atau warga emas, selain bergaji RM2,500 ke bawah untuk bujang.

Bagi pembayaran fasa satu ini, golongan miskin tegar merangkumi kategori isi rumah menerima bayaran RM500, manakala warga emas sebatang kara dan bujang, masing-masing RM200.

Sementara itu, bagi golongan M40, hanya layak menerima BKC sekiranya telah melaporkan cukai pendapatan, dengan jumlah gaji antara RM5,001 hingga RM9,000 (isi rumah) dan berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk individu bujang.

Kumpulan M40 merangkumi kategori isi rumah akan bakal menerima RM250, manakala warga emas sebatang kara dan bujang masing-masing RM100.

Menurut Ismail Sabri, bayaran fasa seterusnya BKC akan dilaksana mengikut jadual ditetapkan dan pengumuman lanjut mengenainya dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya peka terhadap keluh kesah golongan rakyat dan berharap bayaran BKC sedikit sebanyak akan mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

“Kerajaan juga terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar rakyat,” jelasnya.

Leave a Reply