Perang Sudah Tamat Di Afghanistan Selama Nya – Biden

Hebahkan !!!

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mempertahankan keputusan meninggalkan Afghanistan dengan memberitahu rakyatnya bahawa beliau enggan menghantar generasi seterusnya untuk bertempur dalam ‘perang selamanya’.

Menurut Biden dalam ucapannya semalam, pengunduran sepenuhnya tentera AS dari Afghanistan yang selesai kelmarin adalah keputusan paling bijak dan tepat selepas 20 tahun peperangan dengan Taliban.

Selepas dikritik hebat pemimpin pembangkang dari Republikan kerana terburu-buru untuk keluar dari Afghanistan, Biden berkata, beliau hanya melakukan apa yang patut dilakukan sejak bertahun dulu.

“Saya tidak akan melanjutkan lagi perang dan pengunduran ini selama-lamanya,” katanya.

Tambah Biden, operasi pemindahan yang dilaksanakan adalah satu ‘kejayaan luar biasa’.

Bercakap di Rumah Putih, Biden memperincikan kos perang yang luar biasa dengan 2,400 tentera AS terkorban sepanjang pendudukan itu dan sehingga AS$2.3 trilion (RM9.6 trilion) dibelanjakan, namun berakhir dengan Taliban kembali berkuasa.

“Saya mengambil tanggungjawab di atas keputusan ini.

“Saya berjanji kepada rakyat AS akan mengakhiri perang ini. Hari ini, saya menghormati komitmen itu. Sudah sampai waktunya untuk bersikap jujur.

“Selepas 20 tahun di Afghanistan, saya menolak untuk menghantar generasi seterusnya untuk berperang,” katanya.

Biden turut menegaskan, rakyat AS yang masih berada di Afghanistan dengan kebanyakan mereka memiliki dua kewarganegaraan, dibenarkan oleh Taliban untuk keluar jika mereka mahu.

“Bagi mereka yang masih terkandas, tidak ada tarikh akhir untuk keluar.

“Kami tetap komited untuk membawa mereka keluar, jika mahu,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply