Fahaman PMYT Karut, Boleh Merosakkan Akidah: Jakim

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Doktrin fahaman ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) adalah meragukan dan dikhuatiri boleh merosakkan akidah umat Islam sekiranya tidak dibendung.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya bimbang kerana ia bukan hanya membabitkan soal akidah, malah turut menyentuh soal keselamatan negara.

Katanya, pihaknya difahamkan bahawa isu berkenaan kini dalam perhatian dan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Menurutnya, pihak berkuasa agama negeri juga akan mengambil tindakan yang wajar dalam menangani isu terbabit.

“Jakim menyeru kepada orang ramai untuk menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa dan berharap lebih ramai pihak tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan drastik dapat diambil. Kita juga menyeru seluruh umat Islam supaya dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak berpandukan ajaran syariat yang benar,” katanya ketika mengulas laporan eksklusif akhbar ini mengenai ajaran PMYT yang digerakkan seorang wanita digelar sebagai Sittah Annur.

Abdul Aziz berkata, umat Islam juga disaran untuk mendapatkan ilmu syariat dari sumber yang sahih disampaikan tokoh agamawan yang diiktiraf keilmuannya dan tidak terlalu bergantung kepada sumber dalam media sosial semata-mata tanpa merujuk kepada pihak berautoriti.

Katanya, Jakim bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa berusaha memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama.

Justeru, katanya, beliau turut berharap asatizah (guru agama) termasuk 4,000 guru takmir yang dibiayai Jakim di seluruh negara dapat memainkan peranan bagi membantu masyarakat dalam memperoleh ajaran Islam yang benar dan berkesan.

“Jakim mengucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan masyarakat dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan dalam masa sama menyokong usaha dan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya,” katanya.

Taktik tanam momokan, ketakutan kepada pengikut

Membawa naratif ketakutan dan dimomokkan dirinya adalah ‘pilihan Tuhan’ dan hanya dia mampu untuk menyelamatkan manusia akhir zaman.

Dakwaan ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dikatakan mengundang ketakutan dalam kalangan pengikutnya supaya membolehkan mereka menuruti apa jua ajarannya.

Presiden Multiracial Reverted Muslims Firdaus Wong Wai Hung berkata, ajaran itu bergantung kepada mimpi ramalan ketua mereka tentang berlakunya peristiwa kiamat serta persiapan yang dibuat.

“Ini adalah sebuah kultus ajaran sesat yang mendakwa dapat bimbingan daripada Tuhan dan mampu membicarakan soal-soal ghaib.

“Ketua ajaran ini sengaja menanam momokan atau ketakutan kepada pengikutnya supaya bergantung harapan kepadanya bahawa hanya dia mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sudah banyak kes membabitkan fahaman sebegini umpamanya kita ambil kes di Jepun satu kultus Aum Shinrikyo yang diasaskan oleh Shoko Asahara yang mendakwa dirinya wakil Tuhan untuk menyelamatkan manusia daripada kiamat yang bakal berlaku,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, boleh dikatakan hampir semua ajaran sesat yang membawa imej eskatologi akan menggunakan naratif berkenaan untuk menarik perhatian umum.

“Begitu juga dengan PMYT ini, mereka juga membawa ketakutan dengan ramalan mimpi ketua yang menyebabkan ada ahlinya menjual segala tanah dan harta untuk persediaan mahu berhijrah ke lokasi lain.

“Hal ini menimbulkan ketegangan dan perasaan gempar dalam kalangan masyarakat kita yang sedia ada dalam keadaan emosi yang tidak stabil susulan pandemik,” katanya.

Menurutnya, beberapa dakwaan mimpi itu juga terlalu mengarut dan menyimpang daripada ajaran Islam namun masih wujud segelintir masyarakat yang menerimanya tanpa pertimbangan rasional.

“Orang awam seharusnya melakukan pertimbangan dalam neraca Islam dan tidak hanya menerima 100 peratus dakwaannya dengan hanya melihat beberapa ramalannya yang secara kebetulan terjadi.

“Saya lihat ramalannya tentang beberapa perkara adalah boleh dijangka dengan hanya melakukan pembacaan serta carian di internet sahaja.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dengan segera karut ini tidak berleluasa,” katanya.

Leave a Reply