Jadikan politik kerjaya profesional, perkenal Pilihan Raya Pecat – Azalina

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

KERJAYA dalam bidang politik harus dilihat lebih penting, dihormati dan disegani dalam mengurus tadbir negara, bukan lagi sebagai pekerjaan untuk dikeji dan dicaci.

Usaha itu kata, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sewajarnya digembleng secara bersama pemimpin politik generasi lama dan generasi lebih muda yang mesti bersepakat jadikan politik sebagai kerjaya yang profesional.

Beliau berkata, tanggapan rakyat terhadap ahli politik ketika ini sangat memalukan dan secara peribadi, beliau terkilan dengan keadaan terjadi.

Katanya, beliau berhasrat hantar satu notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1), Rang Undang-Undang (RUU) Ahli yang bukan Ahli Parlimen.

“Usul dicadangkan bertajuk RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan diharap usul itu menjadi titik permulaan bagi memperkenal Pilihan Raya Pecat atau Recall Election pada Sidang Parlimen nanti.

“Saya juga berhasrat mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan juga Demokrasi Pelbagai Parti antara ahli-ahli parlimen berminat.

“Ini adalah untuk memperkasa institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan amalan demokrasi berparlimen negara kita,”,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina bekas Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat berbesar hati pendekatan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Blok Pembangkang dan Bebas untuk memperkenal undang-undang anti lompat parti.

Beliau bagaimanapun, ingin menyarankan suatu bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah menggubal Akta Pemecatan Ahli Parlimen (Recall Act).

“Menerusi akta ini pengundi boleh menarik balik mandat yang sudah mereka berikan kepada wakil rakyat yang telah membelakangi mereka.

“Oleh itu hak untuk memilih wakil rakyat baharu atau mengekalkan wakil rakyat itu dikembalikan kepada pengundi di kawasan diwakili,” ujarnya.

Menurut Azalina, setelah 64 tahun Malaysia raikan Kemerdekaan tanah air, kini terdapat gejala yang berleluasa di mana wakil-wakil rakyat sering kali membelakangi parti politik memberikan watikah pencalonan kepada mereka.

Katanya, mereka juga membelakangi masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu, malah lebih-lebih lagi rakyat telah membuang undi untuk wakil rakyat tersebut atas kepercayaan perwakilan mereka mewakili parti politik dan manifesto yang dijanjikan.

“Ramai rakyat mempersoal, apa erti mengundi jika wakil rakyat boleh memajak serta gadaikan mandat rakyat selepas pilihanraya?,” katanya.

Tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, pemimpin generasi beliau harus belajar menerima persaingan antara parti-parti politik sesuatu yang positif dan untungkan rakyat.

Katanya, jika persaingan berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah dan bukan dicetuskan daripada perpecahan parti politik yang memudaratkan.

“Persaingan dalam politik perlu dimurnikan bukan dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian atau dihuru-harakan.

“Demi kemajuan negara, para pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda mestilah berani bermuafakat dan berpakat menjadikan politik pilihan kerjaya yang profesional, dihormati dan disegani, bukannya dikeji dan dicaci.

“Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli Politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya.

Azalina turut sempat mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada penyelidikan asal dilakukan oleh BERSIH 2.0 telah berjaya memberikan pemahaman kepada orang awam tentang mekanisme memecat wakil rakyat.

“Politik dan kuasa berpisah tiada, demokrasi pula bukan sekadar kata-kata, ahli politik selalu saja beradu kuasa, jangan sampai rakyat sengsara,” ujar beliau.

Leave a Reply