FGV catat untung RM501 juta suku kedua tahun 2021

Hebahkan !!!

SEJUMLAH RM501 juta keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) dicatat oleh FGV Holdings Berhad (FGV) lebih tinggi pada suku kedua berakhir 30 Jun, berbanding nilai PBZT RM18 juta suku sebelumnya.

Hasil perolehan Kumpulan bagi suku sama juga meningkat 42% kepada RM4.68 bilion daripada RM3.29 bilion dicatatkan dalam suku yang sama tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, prestasi PBZT yang kukuh diraih hasil keuntungan operasi yang tinggi sebanyak RM338 juta dalam suku kedua tahun ini berbanding RM115 juta dalam tempoh sama sebelumnya.

Pencapaian itu katanya berjaya disumbang oleh peningkatan hasil dalam perniagaan perladangan, gula dan juga pengendalian kargo melalui perniagaan logistiknya.

“Kumpulan juga berjaya catat keuntungan daripada perjanjian Pajakan Tanah (LLA) bernilai saksama sebanyak RM80 juta jika dibandingkan RM76 juta yang diperolehi dalam suku tahun sebelum,” katanya dalam kenyataan FGV hari ini.

Sementara itu, bagi tempoh dalam kajian, Kumpulan FGV mencatatkan purata harga minyak sawit mentah (CPO) lebih tinggi sebanyak RM3, 333 setan iaitu 44 peratus lebih tinggi berbanding harga purata CPO Suku Kedua 2020 sebanyak RM2,309 setan.

Perkara itu kata Mohd Nazrul, sekali gus membolehkan sektor perladangan mencatat pemulihan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun daripada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh setengah tahun pula Kumpulam mencatat PBZT sebanyak RM516 juta hasil perolehan sebanyak RM8.08 bilion, jika berbanding kerugian yang dicatat sebelum zakat dan cukai iaitu RM145 juta dengan hasil perolehan RM6.08 bilion.

Leave a Reply