5 jenis durian popular diabadikan dalam setem khas

Hebahkan !!!

LEMBARAN setem khas Raja Buah Malaysia – Durian yang sudah dijual pejabat pos terpilih untuk para peminat filateli tempatan. – Ihsan Pos Malaysia Berhad

UNIK… Sebut sahaja durian, tentu ramai dalam kalangan kita dapat terbayangkan aroma bau dan keunikan rasa buah tempatan tersebut yang berlemak dengan tekstur penuh berkrim.

Justeru, bersempena dengan ‘kehangatan’ musim durian di seluruh negara pada kali ini, Pos Malaysia Berhad menerbitkan set lembaran khas setem siri Raja Buah Malaysia – Durian.

Menurut kenyataan agensi perkhidmatan pos kebangsaan itu dalam akaun media sosial rasminya, produk itu boleh diperoleh di kesemua 13 pejabat pos besar dan cawangan terpilih.

“Uniknya, insiatif setem edisi terhad itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia dengan memaparkan imej lima varieti durian yang cukup popular di negara ini,” katanya.

Ia meliputi buluh bawah atau D160 selain disebut musang queen, duri hitam atau D200 yang juga digelar ochii, kampung premium serta dalit dengan setiap sekeping itu dijual 60 sen.

Tidak ketinggalan raja kunyit atau varieti D197 yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, namun amat lazim disebut sebagai musang king dengan harga setemnya ialah RM5 sekeping.

Para peminat filateli juga boleh membeli dalam bentuk folder lengkap mengandungi satu helaian 20 keping setem, satu lembaran mini serta sampul surat hari pertama dengan setem.

“Turut dilampirkan ialah satu lagi sampul surat hari pertama dengan lembaran mini dan senaskhah folder yang keseluruhannya dijual hanya pada harga berjumlah RM31.40,” jelasnya.

Lembaran istimewa ini tambah Pos Malaysia Berhad boleh dibeli secara atas talian dengan melayari laman sesawang https://www.pos.com.my/shop/products/stamps.html

Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British pada awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena tema tertentu atau peringatan peristiwa penting.

-BebasNews

Leave a Reply