Tiada lagi kerajaan PN, kini jenamanya kerajaan Malaysia – Presiden UMNO

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

Ketetapan telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan beberapa panduan selepas berbincang dan dipersetujui bersama termasuk gunakan jenama Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia, bukan lagi Kerajaan Perikatan Nasional.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, panduan sama juga dipersetujui Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerika mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, semalam.

“Kerajaan dibentuk kini hasil kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS; manakla Perikatan Nasional pula dianggotai Bersatu, Pas dan STAR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya melalui kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO.

Beberapa perkara lain turut berjaya dicapai dalam mesyuarat sama antaranya, UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mewujudkan kerjasama dan permuafakatan rentas parti untuk bersama menangani kemelut ekonomi, penularan pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Ahmad Zahid, Kerajaan baharu itu perlu fokuskan usaha menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi untuk mencapai sasaran imuniti berkelompok bagi mengurangkan kadar jangkitan dan risiko kematian akibat virus itu.

“Kerajaan mesti santuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan, ini termasuklah penambahbaikan bagi pakej-pakej bantuan rakyat sedia ada (BPN, BPR dan BKC).

“Ia termasuk moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan terus kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik,” tambahnya.

Selain itu, jelas Ahmad Zahid, dalam mesyuarat lebih 3 jam itu, MKT turut menetapkan parti mesti menjadi pelopor usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang pentadbiran kerajaan terrmasuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien.

“UMNO juga perlu mereformasikan pentadbiran negara lebih telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, selain kurangkan campur tangan dalam pelbagai institusi menjadi benteng undang-undang seperti Peguam Negara, SPRM dan lain-lain,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai wujud campur tangan politik di dalam Jabatan Peguam Negara, institusi kehakiman dan pelbagai agensi keselamatan yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Leave a Reply