NGO desak Jabatan Peguam Negara tambah pertuduhan kes dera Bella

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR / Pix

JABATAN Peguam Negara didesak menambah pertuduhan ke atas kes penderaan kanak-kanak istimewa dan yatim piatu, Bella bagi menuntut keadilan untuk mangsa.

Desakan Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) Untuk Bella, iaitu gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dibuat menerusi memorndum kepada Pejabat Peguam Negara, di Putrajaya hari ini.

Jurucakap GMK, Lila Ruzaini Hussain berkata, Peguam Negara didesak menilai semula kertas pertuduhan kes berdasarkan laporan polis oleh penghuni yang tinggal bersama orang kena tuduh (OKT) di kondominium peribadi sejak Oktober 2020.

Katanya, laporan polis itu memperincikan keterangan tentang kejadian sebenar ysng berlaku dan perbuatan OKT terhadap Bella sepanjang tinggal bersama di kondominium tersebut.

Setakat ini jelasnya, lima orang bekas penghuni Rumah Bonda yang diasaskan OKT tampil melapor kepada polis dengan jelas menyatakan mereka saksikan penganiayaan ke atas Bella di rumah perlindungan sama sekitar Julai hingga Oktober 2020.

“Bagaimanapun, keterangan mereka semua tidak dimasukkan dalam siasatan apabila pertuduhan kepada OKT terhadap Bella libatkan garis masa Februari sehingga Jun tahun ini sahaja,” katanya selepas serahan memorandum itu di Putrajaya.

Bagi menuntut keadilan untuk Bella, GMK tegas meminta, pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, secara khususnya pengabaian, dipinda kepada penganiayaan bawah Seksyen sama berdasarkan fakta-fakta dalam laporan polis yang dibuat.

Menurut Lila, pertimbangan Peguam Negara sama ada menambah atau pinda pertuduhan sebagai memberi keadilan terhadap mangsa selain menghukum pesalahnya berpandukan  peruntukkan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, GMK mendakwa, OKT juga telah menganggu saksi-saksi di dalam kes pertuduhan terhadapnya apabila bertemu salah seorang daripada saksi dipercayai cuba mempengaruhi individu itu menarik laporan polis dibuat ke atasnya.

Jelasnya, OKT bukan saja cuba pengaruhi individu itu menarik laporan polis yang dibuat ke atasnya, malah pada masa sama mencari saksi lain untuk dihubungi. Laporan polis juga telahpun dibuat saksi terbabit berkenaan gangguan dan desakan yang dilakukan OKT pada 23 Ogos lalu.

“Berdasarkan kecenderungan OKT bertindak maka GMK gesa Pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap OKT dan kami merayu Pendakwaraya membuat permohonan supaya jaminan diberikan sebelum ini ke atas OKT dilucutkan.

“GMK untuk Bella juga saran saksi-saksi kes diberi jaminan keselamatan daripada ancaman fizikal dan emosi kerana mereka perlu fokus dan bersedia untuk memberi keterangan dengan jujur di mahkamah pada hari perbicaraan kelak,” ujarnya

Leave a Reply