Keluarga Malaysia: Siapa Sebenarnya Keluarga ?

Hebahkan !!!

Oleh : Mestika Mahmud

 

Dalam ucapan sulung Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru baru ini telah memperkenal slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang mahu menggembleng seluruh tenaga membawa Malaysia keluar daripada masalah dialami ketika ini, COVID-19.

 

“Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau di luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu sepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

 

Daripada ucapan beliau, frasa diguna ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Perdana Menteri juga menyedari kewujudan sebuah keluarga yang bergabung dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

 

Namun begitu, penampilan sulung Perdana Menteri telah tercalar apabila memberi bayangan kepada implimentasi konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini. Bermula dengan kiriman Instagram bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Sri Dr Ismail Mohamed Said yang memaparkan beliau dan beberapa Ahli Parlimen menaiki pesawat eksekutif kerajaan dari Subang ke Alor Star.

Gambar tersebut mendapat kecaman dalam media sosial pembangkang dan prokerajaan sendiri. Khabarnya, gambar tersebut juga telah dipadam dari akaun Ismail Mohamed Said sendiri setelah dikritik bertali arus oleh pengguna media sosial.

 

Selain itu, terdapat juga rakaman video rombongan Perdana Menteri yang melawat kawasan bencana diiring sejumlah 52 buah kenderaan. Video berdurasi lebih 1 minit itu telah tersebar luas di laman sosial dikritik netizen dan memberikan impak negatif kepada pihak kerajaan.

 

Setibanya di kawasan bencana, rombongan meriah ini telah disambut dengan papan iklan besar, lebih 15 kaki tinggi dan 30 kaki panjang diletak Pegawai Daerah Yan.

Pada kebiasaannya, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah adalah seorang pegawai daerah.
Papan iklan gergadi ini telah mencalar imej dan integriti penjawat jawatan itz, yang seharusnya mengutamakan usaha dan kerja pemulihan kawasan terjejas banjir.

 

Kita sekarang telah pun melihat lawatan kerja sulung Perdana Menteri Ke-9 ini menunjukkan kepada rakyat siapa dimaksud Keluarga dalam konteks Keluarga Malaysia yang dicanang sebelum ini .

Ismail Mohamed Said sebelum ini adalah satu-satunya Ahli Parlimen yang nyatakan sokongan secara terbuka kepada Ismail Sabri untuk terus bersama dalam kerajaam Perikatan Nasional. Malah kelihatan juga Dato Sri Tajuddin Abdul Rahman dan Dato’ Seri Mahdzir Khalid ada bersama PM dalam pesawat kerajaan tersebut.

Dua Ahli Parlimen itu turut bersama Ismail Mohamed Said dan Ismail Sabri sendiri pada pertemuan 19 orang Ahli Parlimen BN di Auditorium DBKL pada 6 Ogos yang lalu.

 

Berdasarkan maklumat dari beberapa sumber sahih telah menyatakan sehingga hari ini, Ismail Sabri Yaakob belum lagi membuat pertemuan bersama-sama dengan kepimpinan Majlis kerja tertinggi UMNO . Khabarnya , suatu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah dijadualkan pada malam 21 Ogos yang lepas telahpun gagal berikutan daripada ketidakhadiran Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO.

 

Jelas sekarang terdapat kepincangan antara ‘Keluarga Perikatan Nasional’, ‘Keluarga UMNO’ dan ‘Keluarga Ismail Sabri’ telahpun wujud dan akan mewarnai dunia politik pada waktu-waktu mendatang .

 

Leave a Reply