SUAMI SHERIE BERSYUKUR ISTERI, ANAK-ANAK, DUA ANAK SAUDARA & MENTUA NEGATIF COVID-19

Hebahkan !!!


Suami kepada Sherie iaitu Tengku Shafiz Rullah meluahkan rasa syukur apabila dua anak, dua anak saudara dan ibu bapanya disahkan negatif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian calitan yang dibuat semalam. Ia selepas adik perempuan Sherie, suami dan anaknya berusia 10 bulan disahkan positif Covid-19.

Tengku Shafiz memaklumkan, sudah dua bulan dia tidak berjumpa dengan keluarganya berikutan Sherie bersama anak-anak ‘terperangkap’ di rumah adik iparnya disebabkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di Selangor ketika ini.

"Keputusan ujian saringan isteri, anak-anak dan dua anak saudara serta kedua mentua saya, Alhamdulillah negatif. Dimaklumkan, mereka akan kuarantin di rumah. Lagi lapan hari, pihak klinik akan datang buat ujian saringan kedua.

"Sebenarnya, Sherie dengan anak-anak terperangkap di rumah adik ipar berikutan Fasa 1 PPN. Pejam celik, hampir dua bulan kami tak dapat jumpa. Walhal dalam negeri yang sama saja.

"Seorang di utara Selangor, seorang di selatan Selangor. Dugaan. Kalau ikutkan hati tanpa guna akal, mahu saja saya langgar undang-undang prosedur operasi standard (SOP) redah ke Kajang untuk bantu isteri saya," katanya.

Dalam masa sama, Tengku Shafiz turut mengucapkan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu keluarga isterinya.

"Salam sejahtera. Terima Kasih di atas laporan berita ini. Syukur kepada Tuhan. Mujur ada rakan-rakan penggiat seni yang prihatin dan sudi mendapatkan khidmat kuarantin dan rawatan dengan pemantauan pasukan perubatan dari klinik swasta Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ).

"Hanya Allah saja yang dapat membalas ihsan mereka. Nak tunggu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sampai mungkin agak lambat, takut semua yang dalam rumah berjangkit.

"Semalam ambulans sudah datang. Adik ipar saya, suami dan salah seorang anak mereka (bayi 10 bulan) yang positif Covid-19 sudah dibawa ke Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) di Hotel Royale Raja Chulan, Kuala Lumpur kendalian klinik swasta Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ)," tulisnya di ruangan komen Facebook Harian Metro.

Terdahulu, Sherie memuat naik hantaran video yang meminta pertolongan supaya adiknya yang disahkan positif Covid-19 menjalani kuarantin di pusat kuarantin dan bukannya di rumah, semalam.

Selain adik perempuan Sherie, suami dan anak adiknya berusia 10 bulan juga disahkan positif wabak itu dan kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) di Hotel The Royale Raja Chulan, di sini, selama 10 hari.

Leave a Reply