Rumah Prihatin bantu mangsa bencana alam di Kedah

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

PUSAT bantuan dan kebajikan kendalian Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terletak di Ibu Kota, RUMAHPrihatin@GrandSeasons, tampil segera membantu hampir 1,000 keluarga terjejas akibat bencana alam di Jerai dan Merbok, Kedah.

Bantuan bernilai lebih RM100,000 dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai itu dihantar kepada mangsa hari ini sebagai satu inisiatif bagi meringankan beban yang dihadapi.

Pengasasnya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, antara barangan diberikan adalah bakul makanan, pakaian dan juga pakaian ibadat serta wang tunai bagi menyewa jentera berat untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan.

“Dengan apa yang kita ada jaringan rangkaiannya, kita dapat kumpulkan barang keperluan dengan setiap satu item itu kosnya adalah RM15,000.

“Kita ada lebih kurang lima item jumlahnya sudah hampir RM100 ribu lebih, hari ini kita hantar lagi hampir 1,000 unit setiap item yang ada telekung, kain dan juga barang bantuan makanan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pelepasan peserta konvoi bantuan ke kawasan terjejas di RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Annuar berkata, selain itu pihaknya juga telahpun menghantar bantuan tunai kepada pemimpin di kawasan terbabit itu untuk tujuan sewaan jentera berat bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan.

“Mereka perlukan kepada jentera berat, seperti jentolak, excavator dan sebagainya untuk alihkan kayu-kayu yang tumbang kerana keadaan seperti tsunami kecil dan melibatkan banjir lumpur yang sukar hendak dibersihkan cara manual,” katanya.

Tambahnya, pihaknya tidak dapat menghantar sukarelawan untuk membantu penduduk terjejas dalam tragedi tersebut kerana faktor jarak yang jauh selain situasi penularan COVID-19.

“Jadi kita hantar bantuan. Kita harap rombongan 30 orang ini sedikit sebanyak dapat memberikan sokongan moral kepada adik kakak kita di sana,” katanya.

RumahPrihatin tekankan konsep cakna dan keprihatinan warga tampil untuk membantu mangsa yang terjejas di kawasan tersebut sekalipun ia di luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Leave a Reply