Polis rampas dadah bernilai RM245,000

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah bernilai hampir RM245,000 susulan penahanan seorang lelaki tempatan dan teman wanitanya warga Vietnam dalam dua serbuan berasingan di ibu negara serta Puchong Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata suspek berusia 31 dan 26 tahun itu ditahan di Jalan Sentosa oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah kondominium disewa suspek di Puchong Jaya dan menemui serbuk MDMA atau ecstasy seberat 4.05 kilogram, methamphetamine seberat 6.16 gram serta ketamin seberat 11.19 gram serta wang tunai RM540.

“Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM244,975 dan mampu memenuhi keperluan 4,072 pengguna dadah.

“Sindiket didalangi pasangan kekasih ini dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, semakan polis mendapati suspek lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin.

Katanya, kedua-duanya ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tiga hari sehingga hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Chong Ming mahukan anak buahnya teruskan momentum mereka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *