Seorang wanita antara 10 ditahan terbabit seludup kontraban di Melaka

Hebahkan !!!
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh hari ini.
19/04/2021 04:26 PM

MELAKA, 19 April  — Polis Melaka melumpuhkan satu sindiket penyeludupan kontraban yang aktif sejak setahun lalu, selepas menahan 10 individu termasuk seorang wanita menerusi Ops Kontraban yang dijalankan dalam tempoh enam hari bermula 13 April lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua mereka yang berusia 22 hingga 62 tahun terbabit ditangkap dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah.

“Kesemua mereka dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan bagi pasaran dalam Melaka selain pekedai yang menerima bekalan terbabit,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut merampas  928,050 batang rokok putih dan kretek serta 45 botol arak pelbagai jenama tidak bercukai bernilai kira-kira RM685,000.

Turut disita empat kenderaan, iaitu dua Proton Exora, sebuah Honda Accord dan satu Honda City yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka, katanya.

Abdul Majid berkata lima daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, dan kesemua mereka kini direman hingga 27 April depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar dan bazar Ramadan di negeri ini perlu ditingkatkan.

“Kita dapati ada dalam kalangan mereka yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan ada yang masih membawa kanak-kanak pergi ke bazar selain pihak penganjur didapati tidak menutup sepenuhnya kawasan keluar masuk menyebabkan ada pengunjung yang lolos tanpa diambil saringan suhu atau mendaftar kedatangan.

“Kita juga telah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyarankan beberapa tindakan boleh diambil untuk membaiki tahap pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung,” katanya.

Leave a Reply