AGC bantah permohonan 18 anak muda cabar kerajaan tangguh pelaksanaan undi 18

Hebahkan !!!

19/04/2021 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 19 April — Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan oleh 18 anak muda warga negara Malaysia untuk mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu suatu langkah untuk menurunkan had usia mengundi warganegara kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik (AVR) dilakukan.

Anak muda terbabit mewakili Gerakan Undi 18 mengemukakan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC, memberitahu wartawan bahawa mereka mengemukakan bantahan awal hari ini atas alasan bahawa permohonan itu adalah remeh, menjengkelkan dan pramatang pada tahap ini kerana belum ada tindakan yang diambil berkaitan perkara itu.

Sementara itu, seorang lagi Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata bahawa undang-undang dan peraturan berkaitan perlu dipinda terlebih dahulu, sebelum pendaftaran pemilih automatik (AVR) boleh dikuatkuasakan.

“Ini kerana, dengan pindaan Perlembagaan, tidak akan ada lagi permohonan setelah AVR dikuatlkuasakan. Pemohon berhujah bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan Seksyen 3 (a) dan Seksyen 3 (b) Perlembagaan (Pindaan ) Akta 2019 boleh dilakukan secara berasingan.

“Namun, kami berhujah bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan Perlembagaan itu tidak dapat dijalankan secara berasingan dan harus dilakukan bersama-sama. Penguatkuasaan dan pelaksaan AVR adalah kesan terbalik daripada permohonan pendaftaran oleh individu yang berkelayakan,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei untuk mendengar bantahan yang dikemukan itu.

Peguam 18 anak muda berkenaan, Datuk S. Ambiga berkata hari ini ditetapkan bagi mendengar permohonan untuk mengenepikan semakan kehakiman oleh anak guamnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Bagaimanapun, peguam itu memaklumkan susulan bantahan yang dikemukakan AGC itu pihaknya memerlukan masa untuk menjawab perkara itu.

“Maka, mahkamah menangguhkan pendengaran hari ini dan menetapkan 6 Mei untuk mendengar bantahan pihak AGC dan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman,” katanya.

Pada 2 April lepas, anak muda berkenaan memfailkan permohon itu bagi mendapatkan beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden menangguhkan pelaksanaan Undi-18, iaitu suatu inisiatif untuk menurunkan had usia mengundi warganegara kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik (AVR) dilakukan.

Dalam permohonan itu, anak muda terbabit memohon suatu perisytiharan bahawa tindakan kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan menurunkan usia mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang dan merupakan suatu bentuk penindasan terhadap pemilih.

Pemohon yang berusia antara 18 dan 20 tahun itu juga meminta suatu deklarasi bahawa warganegara yang berumur 18 hingga 20 tahun mempunyai kepentingan atau jangkaan yang sah bahawa mereka mempunyai hak untuk mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

— BERNAMA

Hujah Rais Yatim tolak Undi 18 jika jawapan SPM tentu akan gagal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *